Kaedah Jampi & Pemilihan Ayat

  • KAEDAH JAMPIAN DAN PEMILIHAN AYAT

5.1) Terdapat beberapa surah yang dijadikan jampian  berdasarkan hadis-hadis yang sahih seperti surah al-Fatihah, al-Baqarah, al-Kafirun dan al-Mu’awwizaat.[1]

5.2)    Ayat-Ayat Al-Quran Yang Dipilih Oleh Para Ulama Rabbaniyyin. Asas keharusan dalam perkara ini adalah bersandarkan jampian Abi Sa’ied kepada ketua kabilah yang dipatuk binatang berbisa dengan al-Fatihah sehingga berupaya memberi kesembuhan. Setelah itu perbuatan beliau diperakui oleh Nabi SAW dengan sabda baginda:

ما يدريك أنها رقية

Maksudnya: “Bagaimana kamu tahu yang ia (surah al-Fatihah) itu adalah jampian?” (HR al-Bukhari)

Kata al-Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Juraniy: “Barangkali perbuatan sahabat yang menjampi ketua kabilah yang dipatuk itu setelah dia berijtihad dan beristinbath. Hasil istinbathnya membawa beliau mengkhususkan surah al-Fatihah dan tidak ada tambahan lain lagi. Kerana itu kata al-Hafidz RH ketika memberi komentarnya: “Padanya (hadis tersebut) ijtihad ketika ketiadaan nas.”[2] Kata al-Kahhal (الكحال) RH: “sabda baginda: “Bagaimana kamu tahu yang ia (surah al-Fatihah) itu adalah jampian?” merupakah satu bukti bahawa al-Quran, sekalipun semua ayatnya dapat mendatangkan keberkatan, (namun) di dalamnya ada apa-apa ayat yang dikhususkan untuk jampian tidak pada keseluruhan ayatnya.”[3]

PERHATIAN: Ayat-ayat al-Quran memiliki kesan penyebab mendapat kesembuhan. Pemilihan sebahagian ayat-ayat ini dapat dikenal pasti melalui pemerhatian yang mendalam dari para ulama terhadap ayat-ayat al-Quran, juga berdasarkan niat yang dikehendaki oleh sipenjampi yang bersesuaian dengan makna. Demikian juga melalui pengalaman peribadi para ulama yang dapat membuktikan ayat-ayat pilihan tersebut memiliki kesan penyebab kesembuhan. Ini kerana mereka berkeyakinan adanya keberkatan pada ayat-ayat al-Quran. Justeru manfaat ini tidak akan diperolehi  melainkan orang-orang yang memiliki keyakinan yang sama.[4]

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Juhaifah yang berkata:

قُلْتُ لِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ هَلْ عِنْدَكُمْ كِتَابٌ قَالَ لَا إِلَّا كِتَابُ اللَّهِ أَوْ فَهْمٌ أُعْطِيَهُ رَجُلٌ مُسْلِمٌ أَوْ مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ قَالَ قُلْتُ فَمَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ قَالَ الْعَقْلُ وَفَكَاكُ الْأَسِيرِ وَلَا يُقْتَلُ مُسْلِمٌ بِكَافِرٍ

Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada ‘Ali bin Abi Tolib: “Apakah bersamamu terdapat sesuatu kitab (yang khusus untukmu).” Beliau menjawab: “Tiada, melainkan Kitab Allah (al-Quran) atau kefahaman yang diberikan kepada seorang lelaki muslim atau apa yang ada pada lembaran ini.” kata Abu Juhaifah: “aku bertanya: “apakah yang ada pada lembaran ini?” beliau menjawab: “Hukum Diyat dan membebaskan tawanan dari musuh dan tidak dihukum bunuh seorang muslim dengan nyawa seorang kafir.” (HR al-Bukhari: Kitab al-‘Ilm: Kitabah al-‘Ilm)

Al-Mubarakfuri RH berkata: “beliau (‘Ali bin Abi Tolib) telah melihat ilmu dan penelitian (tahkik) tidak didapati pada zamannya di sisi orang lain, lalu beliau menegaskan beliau tidak memiliki sesuatu yang lain selain al-Quran. (beliau juga menegaskan) bahawa baginda SAW tidak pernah mengkhususkan sesuatu ajaran dan bimbingan kepada sesuatu kaum dan tidak diberi kepada kaum yang lain. Sebaliknya yang berbeza hanyalah dari sudut kefahaman, dan kesediaan kemampuan istinbath. Maka sesiapa yang direzekikan kefahaman, pengetahuan dan diberi taufik memerhatikan ayat-ayat al-Quran dan mentadabbur makna-maknanya, maka dibukakan untuknya pintu-pintu ilmu yang berbagai.”[5] 

Kata al-‘Allamah al-Syanqiti: “Dapat difahami (dari hadis ini) bahawa sesiapa yang dikurniakan oleh Allah kefahaman kepada al-Quran, dia dikhususkan dengan beberapa keistimewaan (Khasa’is) dari ilmu-ilmu yang tidak dikhususkan kepada selainnya. Tidaklah demikian itu selain menunjukkan al-Quran telah menghimpunkan setiap sesuatu. Dari al-Quran itu terdapat apa-apa yang dapat diperhatikan oleh setiap manusia, dari al-Quran juga terdapat apa-apa yang hanya boleh diperhatikan oleh mereka yang mendalam ilmunya (al-Rasikh), dari al-Quran juga terdapat apa-apa (dari ilmu) yang hanya diketahui (difahami) oleh Nabi, dari al-Quran juga terdapat apa-apa yang tidak dapat mengetahuinya melainkan Allah Jalla wa ‘Ala sahaja.”[6]

 

[1] Lihat al-Manar al-Munif oleh Ibn al-Qayyim

[2] Al-Fath 4/457

[3] Al-Ahkam al-Nabawiah oleh ‘Ala’ al-Din al-Kahhal.

[4] Adapun kepercayaan sebahagian orang kononnya setiap ayat al-Quran memiliki khadam yang akan berkhidmat kepada sesiapa yang melazimi membacanya adalah satu kepercayaan dan keyakinan karut yang tidak memiliki sebarang sandaran sama sekali. kata al-Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Juraniy: “dia mendakwa memiliki beberapa khadam kepada surah-surah al-Quran dan jin yang salih. Ia bersendirian dapat menguasasi mereka berbanding orang lain disebabkan kesalihan dna ketakwaannya. Kedang-kadang orang seperti ini langsung tidak menunaikan solat, bahkan kesan maksiat jelas pada wajahnya, kadang-kala juga dia seorang perokok. Bagaimana bagi orang seperti ini dapat memiliki khadam? Atas perkara apa khadam itu berkhidmat untuknya? Tidak lain (khadam tersebut) melainkan para syaitan dari kalangan jin…” (al-Ruqyah al-Syar’iyyah, nota kaki halaman: 188)

[5] Tuhfah al-Ahwazi 4/556

[6] Al-‘Azb al-Namir  min Majalis al-Syanqiti fi al-Tafsir 1/193


Cetak  
Wallahu a'lam