Nasihat untuk diri sendiri dan semua

Jika hidup tanpa amalan sunat rawatib... tanpa solat Witir, tanpa solat Dhuha, tanpa membaca alQuran, tanpa zikir-zikir pagi dan petang, tanpa amalan untuk hari kiamat... maka jangan terkejut, jika kebahagiaan dan ketenangan hilang dari hidup kita di dunia.

Jangan hairan juga nanti di akhirat, kita akan berdiri kaku tanpa dapat bergerak, sedangkan manusia lain di sekeliling kita, diseru masuk ke dalam syurga...

Ada yang diseru melalui pintu alRayyan (bagi orang-orang yang banyak berpuasa), ada yang diseru melalui pintu Solat, ada yang diseru melalui pintu sedekah. Setiap kita akan memerhatikan dirinya sendiri. Firman Allah SWT:

 [القيامة : 14-15]{بَلِ الْإِنسَانُ عَلَىٰ نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ (14) وَلَوْ أَلْقَىٰ مَعَاذِيرَهُ (15)} 

Maksudnya: "Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri, meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya."

Wallahu a'lam

Panduan Umum Untuk Belajar Akidah Dan Tauhid

Panduan umum untuk yang berhasrat menuntut ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Allah. Jika anda berniat hendak mempelajari akidah dan tauhid, carilah pengajian akidah dan tauhid yang dapat membantu anda merasai kebesaran Allah, kedekatan dengan-Nya, merasai amat-amat memerlukannya.

Jangan cari pengajian yang memperkenalkan anda siapa golongan Asya'irah dan ciri-cirinya, muktazilah dan ciri-cirinya, murjiah dan ciri-cirinya, khawarij dan ciri-cirinya dan lain-lain.

Anda tidak akan dapat akidah dan tauhid dalam kelas seperti ini, kerana ia adalah subjek "Firaq" (firqah-firqah atau perpecahan-perpecahan dalam kalangan umat Islam) bukan subjek akidah dan tauhid tulen.

Hasilnya akan berlaku kepada anda apa yg berlaku kepad asebahagian orang yang terkeliru antara subjek firaq yang disangkanya subjek asas akidah. Lalu kuliah mereka melahirkan orang yang nafsunya tertumbu kepada meng"kelas"kan umat Islam ke dalam firqah-firqah yang menyeleweng. Orang itu dari firqah sekian-sekian, orang ini dari firqah sekian-sekian.

Wallahu a'lam

Jemu Dan Bosan Itu Termasuk Dalam Akhlak Buruk

Musa bin 'Ali meriwayatkan daripada bapanya yang pernah mendengar 'Amr bin al-Ash berkata: 

لاَ أمَلُّ ثَوْبِي ما وسِعَنِي، ولاَ أمَلُّ زَوْجَتِي ما أحْسَنَتْ عِشْرَتِي، ولاَ أمَلُّ دابَّتِي ما حَمَلَتْنِي، إنَّ المَلاَلَ مِن سَيِّئِ الأخْلاَقِ

maksudnya: "Aku tidak akan jemu dengan bajuku selagi ia boleh dipakai, aku tidak akan jemu dengan isteriku selagi dia memperelokkan pergaulannya denganku, aku tidak akan jemu dengan kenderaanku selagi dia dapat membawaku. Sesungguhnya rasa jemu itu adalah termasuk dari akhlak buruk." (Siyar A'lam al-Nubala oleh al-Zahabi 3/567)

Wallahu a'lam