SDI 1303: Saya Diuji Dengan Lintasan Hati: "Aku Murtad"

Soalan:

Assalmu‘alaikum ustaz. Saya diuji kata-kata hati, aku murtad/kafir saya sudah cuba melawan, tapi saya rasa telah terikut atau telah mengiakan kata hati itu dan rasa telah murtad dan mengucap dua kalimah syahadah, kembali dan perkara ini telah berlaku banyak kali, betulkah perbuatan ini dan apa hubungan kekeluargaan dan hubungan suami isteri dan bagaimana nak hilangkan kata-kata hati itu, jawapan dari pihak tuan teramat penting bagi saya.

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Kami mendoakan supaya penyoal dicurahkan kebaikan yang banyak dari Allah SWT. Jawapan untuk soalan yang ditanya adalah seperti berikut:

  1. Kewajipan seseorang yang diuji dengan lintasan atau kata-kata hati yang menyalahi akidah ialah membuang lintasan tersebut dan tidak melayannya.
  1. Lintasan atau kata-kata hati adalah suatu yang di luar kemampuan manusia dari menghalang kehadirannya. Kerana itu hanya semata-mata lintasan atau kata-kata hati, ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan di dalam Islam. Nabi SAW bersabda:

إن الله تجاوز عن أمتي ما حدثت به أنفسها، ما لم تعمل، أو تتكلم

Maksudnya:  “Sesungguhnya Allah memberi kemaafan untuk umatku apa-apa yang terlintas di dalam dirinya selama mana dia tidak mengamalkannya (tidak beri’tiqad dengannya) atau tidak memperkatakannya (memperkatakannya kerana keyakininya).” (al-Bukhari dan Muslim)

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

الخواطر وحديث النفس إذا لم يستقر، ويستمر عليه صاحبه، فمعفو عنه باتفاق العلماء؛ لأنه لا اختيار له في وقوعه، ولا طريق له إلى الانفكاك عنه. وهذا هو المراد بما ثبت في الصحيح عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال: إن الله تجاوز لأمتي ما حدثت به أنفسها ما لم تتكلم به، أو تعمل. قال العلماء: المراد به الخواطر التي لا تستقر. قالوا: وسواء كان ذلك الخاطر غيبة، أو كفرا أو غيره، فمن خطر له الكفر مجرد خطران من غير تعمد لتحصيله، ثم صرفه في الحال، فليس بكافر، ولا شيء عليه

Maksudnya: “Lintasan dan kata-kata hati selagi tidak menetap di dalam hati dan dibiar pergi, maka ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan dengan sepakat para ulama. Ini kerana kehadirannya tanpa pilihan. Tiada jalan bebas darinya. Inilah yang dimaksudkan di dalam hadis yang sahih daripada Rasulullah SAW yang bersabda: “Sesungguhnya Allah memberi kemaafan untuk umatku apa-apa yang terlintas di dalam dirinya selama mana dia tidak mengamalkannya (tidak beri’tiqad dengannya) atau tidak memperkatakannya (memperkatakannya kerana meyakininya).” Kata para ulama: “Yang dimaksudkannya ialah lintasan yang tidak menetap di dalam hati, sama ada lintasan itu satu ghibah (umpatan) atau satu lintasan kekufuran atau selainnya. Maka sesiapa yang terlintas kekufuran tanpa sengaja menghadirkan lintasan itu, kemudian dia berpaling segera darinya, maka dia bukan seorang yang kafir. Tiada sebarang kesalahan ke atasnnya.” (al-Azkar, 535)

  1. Seseorang yang didatangi lintasan atau kata-kata hati yang salah, lalu segera diingkarinya dan merasa takut dari lintasan itu menetap di dalam dirinya adalah bukti keberadaan iman di dalam dirinya.

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang berkata:

جاء أناس من أصحاب النبي -صلى الله عليه وسلم- فسألوه: إنا نجد في أنفسنا ما يتعاظم أحدنا أن يتكلم به، قال: "وقد وجدتموه؟" قالوا: نعم، قال: "ذاك صريح الإيمان

Maksudnya:   “Pernah beberapa orang dari kalangan sahabat Nabi SAW bertanya: “(wahai Rasulullah) kami dapati di dalam diri kami lintasa-lintasan yang besar kesalahannya jika diucapkan.” Baginda SAW bersabda: “Kamu mendapati lintasan itu hadir?” mereka menjawab: “Ya, Rasulullah.” Baginda bersabda: “Demikian itu tanda jelas kepada keimanan.” (Muslim)

Di dalam hadis lain, baginda Nabi SAW bersabda:

لا يزال الناس يتساءلون حتى يقال: هذا خلق الله، فمن خلق الله؟ فمن وجد شيئًا من ذلك فليقل: آمنت بالله

Maksudnya: “(kadang-kala timbul persoalan di dalam diri menjadikan) berterusan persoalan timbul sehingga seseorang berkata: “Perkara ini, Allah yang menciptakannya. Maka siapa pula yang menciptakan Allah?”Siapa yang mendapati persoalan seumpama ini di dalam hatinya, maka ucapkanlah: “Sesungguhnya daku beriman kepada Allah (sebagai tuhanku).” (Muslim)

  1. Ibn Hajar al-Haitami ketika ditanya berkaitan ubat menghilangkan lintasan keraguan di dalam diri berkata:

لَهُ دَواءٌ نافِعٌ وهُوَ الإعْراضُ عَنْها جُمْلَةً كافِيَةً. وإنْ كانَ فِي النَّفْسِ مِن التَّرَدُّدِ ما كانَ - فَإنَّهُ مَتى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَما جَرَّبَ ذَلِكَ المُوَفَّقُونَ، وأمّا مَن أصْغى إلَيْها وعَمِلَ بِقَضِيَّتِها فَإنَّها لا تَزالُ تَزْدادُ بِهِ حَتّى تُخْرِجَهُ إلى حَيِّزِ المَجانِينِ بَلْ وأقْبَحَ مِنهُمْ، كَما شاهَدْناهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِها وأصْغَوْا إلَيْها وإلى شَيْطانِها الَّذِي جاءَ التَّنْبِيهُ عَلَيْهِ مِنهُ - ﷺ - بِقَوْلِهِ: «اتَّقُوا وسْواسَ الماءِ الَّذِي يُقالُ لَهُ الوَلْهانُ» أيْ: لِما فِيهِ مِن شِدَّةِ اللَّهْوِ والمُبالَغَةِ فِيهِ كَما بَيَّنْت ذَلِكَ وما يَتَعَلَّقُ بِهِ فِي شَرْحِ مِشْكاةِ الأنْوارِ، وجاءَ فِي الصَّحِيحَيْنِ ما يُؤَيِّدُ ما ذَكَرْته وهُوَ أنَّ مَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَعْتَقِدْ بِاَللَّهِ ولْيَنْتَهِ. فَتَأمَّلْ هَذا الدَّواءَ النّافِعَ الَّذِي عَلَّمَهُ مَن لا يَنْطِقُ عَنْ الهَوى لِأُمَّتِهِ. واعْلَمْ أنَّ مَن حُرِمَهُ فَقَدْ حُرِمَ الخَيْرَ كُلَّهُ؛ لِأنَّ الوَسْوَسَةَ مِن الشَّيْطانِ اتِّفاقًا، واللَّعِينُ لا غايَةَ لِمُرادِهِ إلّا إيقاعُ المُؤْمِنِ فِي وهْدَةِ الضَّلالِ والحَيْرَةِ ونَكَدِ العَيْشِ وظُلْمَةِ النَّفْسِ وضَجَرِها إلى أنْ يُخْرِجَهُ مِن الإسْلامِ. وهُوَ لا يَشْعُرُ أنَّ الشَّيْطانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فاِتَّخِذُوهُ عَدُوًّا. وجاءَ فِي طَرِيقٍ آخَرَ فِيمَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَقُلْ: آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ. ولا شَكَّ أنَّ مَن اسْتَحْضَرَ طَرائِقَ رُسُلِ اللَّهِ سِيَّما نَبِيُّنا - ﷺ - وجَدَ طَرِيقَتَهُ وشَرِيعَتَهُ سَهْلَةً واضِحَةً بَيْضاءَ بَيِّنَةً سَهْلَةً لا حَرَجَ فِيها وما جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِن حَرَجٍ، ومَن تَأمَّلَ ذَلِكَ وآمَنَ بِهِ حَقَّ إيمانِهِ ذَهَبَ عَنْهُ داءُ الوَسْوَسَةِ والإصْغاءِ إلى شَيْطانِها. وفِي كِتابِ ابْنِ السُّنِّيِّ مِن طَرِيقِ عائِشَةَ: «مَن بُلِيَ بِهَذا الوَسْواسِ فَلْيَقُلْ: آمَنّا بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ ثَلاثًا، فَإنَّ ذَلِكَ يُذْهِبُهُ عَنْهُ» وذَكَرَ العِزُّ بْنُ عَبْدِ السَّلامِ وغَيْرُهُ نَحْوَ ما قَدَّمْته فَقالُوا: دَواءُ الوَسْوَسَةِ أنْ يَعْتَقِدَ أنَّ ذَلِكَ خاطِرٌ شَيْطانِيٌّ، وأنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أوْرَدَهُ عَلَيْهِ وأنَّهُ يُقاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوابُ المُجاهِدِ؛ لِأنَّهُ يُحارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإذا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksud bersama olahan semula: “Terdapat ubat yang bermanfaat bagi menghadapi lintasan keraguan (di dalam hati), iaitulah bersungguh-sungguh berpaling daripadanya (sebaik sahaja dia datang), sekalipun di dalam dirinya masih ada saki-baki lintasan itu, jika dia tidak mempedulikan lintasan itu, ia tidak akan dapat menetap di dalam diri, bahkan pasti ia akan hilang dalam masa yang singkat sepertimana yang dialami oleh orang-orang yang diberi taufiq. Adapun sesiapa yang melayan lintasan itu dan menurutnya, ia akan terus bertambah kuat dan akan menjadikannya tergolong dalam kumpulan orang-orang gila, bahkan lebih buruk dari mereka. Hal ini sepertimana yang kami saksikan berlaku kepada ramai dari kalangan mereka yang diuji dengan lintasan keraguan, kemudian melayan dan menurut bisikan syaitan itu yang telah diperingatkan oleh Nabi SAW dengan sabda baginda: “Jagalah diri kamu dari waswas al-Ma’ (وسْواسَ الماءِ) yang disebut al-Walhan (الولهان)” iaitulah disebabkan padanya terdapat perkara yang bersangatan sia-sia seperti yang telah daku jelaskan dalam Syarh Misykah al-Anwar.

Terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim penguat akan apa yang aku nyatakan ini, bahawa sesiapa yang diuji dengan waswas, maka hendaklah dia membetulkan iktikadnya dengan Allah dan berhenti dari melayan lintasan keraguan tersebut. Oleh itu ambillah perhatian terhadap ubat yang bermanfaat ini, yang telah diajar oleh insan yang tidak berkata-kata dengan hawa nafsunya (SAW). Ketahuilah bahawa sesiapa yang terhalang dari mengikuti panduan baginda, orang itu telah terhalang dari seluruh kebaikan. Ini kerana lintasan waswas adalah pasti dari syaitan. Syaitan yang dilaknat tiada tujuan lain melainkan untuk menjadikan seorang yang beriman terjebak ke dalam lembah kesesatan, ke dalam keraguan, kesempitan hidup, kegelapan dan kegelisahan jiwa, sehingga mengeluarkannya dari agama Islam. Orang itu tidak sedar bahawa syaitan adalah musuhnya, maka jadikan syaitan itu mush (dengan tidak menurutinya). Di dalam hadis lain berkaitan orang yang diuji dengan bisikan waswas, hendaklah mengucapkan:  آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ “Daku beriman kepada Allah dan kepada semua rasul utusan-Nya.”

Tidak diragukan lagi bahawa, sesiapa yang mengikuti jalan para rasul Allah terutamanya nabi kita SAW, pasti akan mendapati jalan baginda dan syariat yang dibawa baginda adalah jelas, terang dan mudah. Tiada kepayahan di dalamnya, (firman Allah SWT) “dan tidaklah Dia menjadikan untuk kamu semua sesuatu kepayahan di dalam agama.” Sesiapa yang memerhatikan perkara ini dan benar-benar beriman dengannya, penyakit waswas dan condong kepada bisikan syaitan itu akan hilang darinya.

Di dalam kitab Ibn al-Sunniy dari riwayat ‘Aisyah RA dinyatakan: “Sesiapa yang diuji dengan bisikan waswas ini, hendaklah mengucapkan: “kami telah beriman kepada Allah dan kepada semua para rasul-Nya” tiga kali. Perkara ini akan menghilangkan bisikan waswas tersebut daripadanya.” Al-“izz bin ‘Abd al-Salam dan selain beliau ada menyebut perkara yang sama dengan apa yang telah daku sebutkan ini. Mereka berkata: “Ubat kepada waswas ialah dengan berkeyakinan bahawa waswas tersebut adalah dari syaitan. Iblislah yang telah mendatangkan lintasan tersebut. Maka sesiapa yang mengalaminya hendaklah memerangi Iblis dan dia berhak mendapat pahala seorang mujahid kerana melawan (bisikan waswas) Iblis yang merupakan musuh Allah. Apabila seseorang itu merasai perkara ini, pasti iblis dan syaitan akan lari daripadanya…” (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra 1/149-150)   

5. Anda masih seorang Muslim tanpa ragu. Demikian juga hubungan suami isteri antara anda dengan pasangan masih termeterai kukuh. Oleh itu jangan biarkan diri dan hidup anda bersama keluarga diporak-perandakan oleh iblis dan syaitan. Perbaiki hubungan anda dengan ALlah SWT dan perbanyakkanlah menghadiri majlis-majlis ilmu.


Cetak  
Wallahu a'lam