Akidah Yang Disepakati Sesama Umat Islam (1)  

Akidah Yang Disepakati Oleh Semua Umat Islam (1)

Asas Umum: Keimanan Kepada Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan Hari Akhirat

Allah adalah rabb atau tuhan kepada sekalian alam. Dialah yang mencipta segala sesuatu, tuan milik kepada segala-galanya, Dialah yang mentadbir setiap sesuatu, Dialah yang menghukum setiap perkara. Semua makhluk tunduk dan menyerah diri kepada-Nya. Dialah yang menciptakan segala langit dan bumi tanpa ada contoh sebelumnya. Dialah tuhan yang Maha Agung, Maha Mulia dan Maha Indah.

            Dialah tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dialah tuhan yang satu lagi esa, menjadi tempat pergantungan, yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, demikian juga tiada sesuatupun yang sekufu atau sama dengan-Nya, lagi tiada sekutu bagi-Nya.

            Dialah tuhan yang Maha Hidup lagi berdiri sendiri. Tidak kena padanya rasa mengantuk dan Dia tidak tidur. Milik-Nya segala yang ada di langit dan di bumi. Dia tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Agung, Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Dia berkuasa ke atas segala sesuatu.

            Dia memiliki nama-nama yang baik dan sifat-sifat yang mulia. Dia mengetahui setiap apa yang berada di langit dan setiap yang berada di bumi. Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu. Kekuasaan-Nya meliputi segala sesuatu.

            Segala yang berada di langit dan yang berada di bumi sentiasa bertasbih dengan memuji-Nya, sekalipun semua manusia tidak memahami tasbih mereka semua. Dia tidak dapat dilihat oleh penglihatan, sedangkan Dia melihat dan mengetahui hakikat segala penglihatan. Tiada sesuatu yang seumpama dengan-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

            Dialah yang satu-satunya berhak diarahkan pengibadatan dan ketaatan yang mutlaq. Dialah yang satu-satunya berhak diberikan kemuncak pengagungan. Dialah yang satu-satunya berhak diserahkan kemuncak kecintaan. Dialah yang satu-satunya berhak ditakuti dengan sebenar-benarnya. Dialah yang satu-satunya berhak diberikan kemuncak pujian. Dialah yang satu-satunya tempat dipohon segala pertolongan. Hanya kepada-Nya diserahkan pergantungan. Tiada tempat berteduh dan tiada tempat melepaskan diri daripada-Nya (daripada hukuman-Nya) melainkan kembali semula kepada-Nya. Tiada keupayaan dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Agung.

Keimanan kepada Allah adalah rukun iman yang pertama.

Allah telah menciptakan jin dan manusia untuk mereka beribadah kepada-Nya semata-mata. Tiada sekutu bagi-Nya (tiada zat lain yang layak diajukan pengibadatan selain Allah). Dia mempersiapkan jin dan manusia untuk beribadah kepada-Nya adalah satu rahmat kepada mereka. Dia telah membekalkan ke dalam fitrah mereka penyaksian bahawa Dia adalah tuhan kepada mereka semua. Dia juga telah membekalkan ke dalam fitrah tersebut rasa suka akan perkara-perkara mulia dan benci kepada perkara-perkara yang hina. Akan tetapi Dia juga telah menciptakan untuk mereka syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia yang berperanan sebagai musuh mereka semua. Kerja syaitan-syaitan tersebut adalah untuk mencampakkan rasa was-was kepada mereka (jin dan manusia) dan menghiaskan perkara-perkara kerosakan dan kesesatan agar mempengaruhi jin dan manusia supaya jauh dari ketaatan kepada Allah.

Ia sepertimana mereka (syaitan) telah memperdaya jin dan manusia agar cintakan syahawat (keinginan-keinginan yang berbagai) demikian juga memperdaya jin dan manusia dengan dunia. Semua ini berupa satu ujian untuk jin dan manusia dalam menjalani kehidupan di dunia.

Dalam masa yang sama, Allah juga telah menciptakan kehidupan lain yang kekal selama-lamanya. Iaitulah kehidupan di negeri pembalasan (دار الجزاء) menurut apa yang telah dikerjakan ketika berada di negeri ujian (dunia).

Jika jin dan manusia itu mentaati Allah, menyembah-Nya dan mengikut jalan-Nya. Maka mereka adalah orang-orang yang akan mendapat kejayaan dan kemenangan dengan memperoleh keredhaan Allah dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

  Namun jika jin dan manusia itu menderhakai Allah, mengikut jalan-jalan syaitan dan menurut hawa nafsu. Mereka layak mendapat kemurkaan Allah. Merekalah orang-orang yang rugi dan binasa di dunia dan akhirat.

Termasuk di dalam rahmat Allah yang maha agung dan mulia, adalah dengan pengutusan para rasul yang berperanan menyampaikan risalah-Nya kepada jin dan manusia. Rasul itu juga berperanan memberi penerangan kepada jin dan manusia akan hakikat sebenar dunia. Rasul itu juga menyeru mereka agar beriman kepada Allah, melakukan pengibadatan hanya kepada-Nya yang tiada sekutu, menyeru mereka agar beriman kepada para nabi dan rasul-Nya, beriman kepada kitab-kitab yang Allah turunkan kepada para rasul tersebut, mengikuti mereka, memberi peringatan kepada jin dan manusia agar menjauhi syaitan-syaitan yang banyak, memberi peringatan agar jin dan manusia tidak menuruti hawa nafsu, menyeru agar beriman akan hari akhirat, beriman dengan segala yang ada di hari akhirat terdiri dari nikmat syurga sebagai pembalasan kepada mereka yang taat, demikian juga beriman dengan azab yang pedih sebagai pembalasan kepada mereka yang derhaka.

Allah yang maha agung dan mulia telah memilih seorang lelaki bernama Muhammad bin Abdillah SAW sebagai penutup segala nabi dan rasul. Dia telah menurunkan kepada baginda kitab terakhir iaitulah al-Quran al-Karim. Allah memerintahkan kepada semua jin dan manusia agar beriman kepada nabi dan rasul terakhir tersebut dan mengikutinya sehingga ke hari kiamat.

Sesiapa yang menyaksikan bahawa tiada sembahan yang sebenarnya melainkan Allah dan menyaksikan Muhammad itu adalah seorang utusan Allah. Beriman dengan perkara ghaib, beriman dengan seluruh wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada nabi dan rasul yang terakhir SAW tersebut. Maka orang itu adalah seorang muslim lagi seorang yang beriman, seorang yang berjaya dengan memperolehi keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Sesiapa yang kufur terhadap Allah atau mensyirikkan-Nya, atau kufur terhadap Nabi Muhammad SAW, atau kufur terhadap sesuatu yang menjadi rukun iman yang diperintahkan untuk diimani, maka orang itu adalah seorang kafir yang dimurkai oleh Allah dan Allah akan menjadikan hidup orang tersebut di dunia dirasakan sempit. Jika orang tersebut mati dalam keadaan sedemikian, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam di akhirat kekal. Orang itu akan kerugian dunia dan akhiratnya. Demikian itulah kerugian yang amat nyata.

Kufur terhadap Allah akan mewujudkan kemelampauan. Akan terhalang dari ketenangan dan memandu manusia kepada kehancuran. Ia merosakkan akhlak, menghilangkan keberkatan, menarik kebahagiaan di dunia lagi sebelum di akhirat. Keburukan tidak beriman kepada Allah terlalu banyak dan tidak dapat dihitung di dunia ini sebelum di akhirat. Firman-Nya: “Sesiapa yang berpaling dari meningati-Ku, maka sesungguhnya untuknya kehidupan yang sempit dan kami akan menghimpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Taha: 124)

Adapun sesiapa yang beriman kepada Allah taala, beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada seluruh yang diturunkan kepada baginda, akan tetapi orang itu ada melakukan maksiat terhadap Allah, dia pula mati sebelum sempat bertaubat. Maka orang seperti itu berada di bawah kehendak Allah. Iaitulah jika Allah menghendaki keampunan untuknya, Allah akan memberi keampunan kepadanya dan memasukkannya ke dalam syurga tanpa dikenakan sebarang azab. Jika Allah menghendaki mengenakan azab kepadanya, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka untuk seketika waktu setelah itu Allah akan memasukkannya ke dalam syurga untuk kekal di dalamnya.

Tidak akan kekal diazab (di dalam neraka) seorang muslim sekalipun dia mati dalam keadaan terdapat maksiat yang dilakukannya. Ini termasuk dalam rahmat Allah, kemuliaan dan anugerah daripada-Nya. Segala pujian adalah milik Allah, menurut apa yang disukai dan diredhai oleh-Nya.

Beribadah kepada Allah yang esa tanpa ada penyekutuan adalah jalan membina ketamadunan dan kebangkitan yang tertegak di atas keadilan dan kerahmatan. Ia adalah jalan aman dan selamat. Ia adalah sumber kebahagian dan sinaran untuk kemanusiaan, bahkan kepada alam seluruhnya.       

-----------------

sambungan: 

Akidah Yang Disepakati Oleh Semua Umat Islam (2)

Akidah Yang Disepakati Oleh Semua Umat Islam (3)


Cetak  
Wallahu a'lam