Akidah Yang Disepakati Oleh Semua Umat Islam (3)

Akidah Jumlah paparan: 144

baca dahulu: 

Akidah Yang Disepakati Sesama Umat Islam (1)

Akidah Yang Disepakati Oleh Semua Umat Islam (2)

Beriman Dengan Semua Kitab dan Rasul AS

Allah telah memilih hamba-Nya yang paling utama (أفضل), lalu diwahyukan kepada mereka, Dia menurunkan kepada sebahagian mereka kitab-kitab yang menyeru kepada pengibadatan kepada-Nya semata-mata dan tiada sekutu bagi-Nya. Kitab itu juga mengkhabarkan perkara berkaitan dengan-Nya, menjelaskan agama yang diredhai oleh-Nya, risalah-risalah yang diutuskan-Nya, perintah dan tegahan-Nya. Kitab-kitab itu juga memberikan khabar gembira memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat bagi sesiapa yang taat, memberi ancaman kerugian di dunia dan akhirat bagi sesiapa yang derhaka. Mereka yang menerima kitab ini adalah para Nabi dan Rasul-Nya.

Allah memerintahkan (kepada manusia seluruhnya) agar beriman kepada kesemua para Rasul dan Nabi ini. Allah menjadikan beriman kepada semua mereka salah satu daripada rukun Iman. Siapa yang mendustakan walau seorang dari kalangan mereka atau walau satu kitab yang diturunkan kepada mereka, maka orang itu telah terkeluar dari agama Islam.

Antara kitab yang telah diturunkan itu ialah: Suhuf Ibrahim AS, al-Taurah yang telah diturunkan kepada Musa AS, al-Zabur yang telah Allah turunkan kepada Daud AS dan al-Injil yang Allah telah turunkan kepada Isa AS. Kitab terakhir dan yang teragung adalah al-Quran yang Allah telah turunkan kepada penutup para Nabi-Nya, iaitulah Muhammad SAW. al-Quran adalah satu-satunya kitab dari kitab-kitab yang Allah turunkan, yang Allah menjamin pemeliharaannya sehingga ke akhir zaman.

Para Nabi dan Rasul AS adalah makhluk yang termulia di kalangan jin dan manusia. Allah SWT memilih mereka dan mengkhususkan mereka dengan beberapa kelebihan, memelihara mereka dari segala maksiat, meneguhkan mereka dengan tanda-tanda mukjizat yang khas untuk mereka sebagai bukti kebenaran seruan mereka yang cukup untuk menjadikan manusia beriman kepada mereka.

Pertama yang diutuskan ialah Adam AS. Allah menciptakan baginda dari dua tangan-Nya sendiri dan menciptakan isteri untuknya dari diri Adam sendiri. Dari mereka berdua berkembang-biak generasi manusia. Baginda merupakan bapa kepada manusia seluruhnya dan semua kita adalah anak-cicit kepada baginda AS.

Antara yang diutuskan juga adalah Nuh AS yang hidup bersama kaumnya selama 950 tahun, Ibrahim AS, kekasih tuhan yang Maha Penyayang, Musa AS nabi yang berkata-kata dengan Allah, Isa bin Maryam AS yang telah diangkat oleh Allah kepada-Nya, kemudian baginda akan diturunkan semula di akhir zaman dan baginda akan mengikut agama Nabi kita Muhammad SAW. Setelah itu baginda akan diwafatkan sama sepertimana diwafatkan manusia lainnya.

Selain dari mereka, ramai lagi para Nabi dan Rasul yang telah diutuskan oleh Allah. Di antara mereka ada yang disebut kisahnya oleh Allah di dalam al-Quran. Ada pula sebahagian lain tidak diceritakan kisah mereka. Allah memerintahkan kepada kita semua untuk beriman kepada mereka semua dan Allah menjadikan keimanan kepada semua para Nabi dan Rasul itu termasuk di dalam rukun iman.

Kesemua para Nabi dan Rasul itu adalah Ikhwah li ‘Allat (إخوة لعلات). Agama dan risalah yang mereka semua bawa adalah agama dan risalah yang sama (Islam), hanya syari’at (peraturan atau cara) sahaja yang berbeza dalam sebahagian perincian. Akan tetapi semua risalah mereka menyeru kepada keadilan, berbuat ihsan, kemuliaan akhlak, menjauhi perbuatan keji dan mungkar, melampaui batas dan berakhlak yang keji.

Kesemua para Nabi dan Rasul yang awal telah menghabarkan tentang pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai penutup kepada para Nabi dan Rasul dan Allah memerintahkan semua manusia mengikuti petunjuk baginda.

Allah mengutuskan semua para Nabi dan Rasul kepada kaum mereka, menyeru manusia agar beribadah kepada Allah SWT semata-mata dan tidak mensyirikkan-Nya, beriman kepada apa yang diturunkan-Nya dan mengikut para rasul-Nya yang menyuruh mereka semua melakukan perkara yang makruf dan mencegah mereka dari melakukan kemungkaran. Para Nabi dan Rasul itu juga memberi khabar gembira memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat kepada sesiapa yang taat dan memberi ancaman kerugian di dunia dan akhirat bagi sesiapa yang bermaksiat.

Kesemua para Rasul itu telah menyampaikan risalah dari Allah SWT dengan penuh amanah dalam bentuk yang paling baik dan sempurna seperti yang diperintahkan Allah kepada mereka, maka selawat Allah untuk mereka semua.

Termasuk dari buah keimanan dengan kitab-kitab, para Nabi dan Rasul adalah mengagungkan Allah SWT dan mencintai-Nya. Di mana Allah tidak meninggalkan manusia begitu sahaja tanpa panduan. Demikian juga mengikut petunjuk dari para Rasul dan yakin bahawa kemenangan adalah untuk orang-orang yang beriman dan balasan yang melimpah-ruah kepada mereka yang sabar.

Cetak
Wallahu a'lam