Ada sudut benar perkataan "Membaca tanpa ada guru, belajar dengan syaitan"

al-Imam al-Ghazali RH, tokoh yang masyhur, sehingga para ulama mazhab Syafie menggelarkan beliau sebagai Hujjatul Islam, disebabkan kepintaran, kehebatan juga penguasaan ilmu al-Imam al-Ghazali RH. Kita tak boleh nafikan perkara ini. Penguasaan ilmu Abu Hamid al-Ghazali, beliau begitu alim, begitu meluas ilmu Imam al-Ghazali ini. 

Jangan ambil llmu kesufian beliau yang ada tergelincir seperti yang dinyatakan oleh ulama. Ambil pada bab-bab yang baik. Sebab itu buku-buku seperti ini, kalau hendak dibaca perlu ada panduan guru. Bukan boleh semua orang baca. Kerana itu orang-orang tua dahulu kata: "Siapa baca kitab tidak berguru, guru dia adalah syaitan." Betul, betul kata orang-orang tua itu. Tak boleh baca buku kalau tak ada asas apa-apa, tiba-tiba nak baca kitab Ihya' Ulumiddin, baca sendiri di rumah. Kalau dia baca dalam keadaan dia terlalu kagum dengan al-Imam al-Ghazali, maka dia akan terjemak ke dalam sufi yang melampau. Kalau dia baca kitab al-Imam al-Ghazali dalam keadaan dia hasad dan marah, dia akan tuduh al-Imam al-Ghazali sebagai sesat. Bahkan dia akan kufurkan imam Ghazali, barangkali.

Yang penting setiap orang baca mengikut kadar kemampuan yang dia boleh baca. Kata para ulama: طعام الأكابر سم الأصاغر "makanan orang-orang besar itu menjadi racun kepada orang-orang kecil." 

Dalam ilmu apapun, kalau budak umur tujuh, darjah satu. Dia baca buku budak universiti, racun atau tidak kepada dia? Sudah tentu menjadi racun kepada budak tujuh tahun itu. Maka demikian juga ilmu agama, طعام الأكابر سم الأصاغر ilmu yang dibaca oleh tokoh-tokoh besar, orang-orang alim, kalau dibaca oleh orang-orang jahil dan tidak ada ilmu, akan menjadi racun dan tidak ada kebaikan. Sebab itu saya masih ingat, dalam perjalan dengan al-Syeikh Basyir Ahmad Solad. Sekarang ini dia ketua ulama Somalia. Saya bagitahu kepada dia, saya kata kepada dia: "Alhamdulillah kitab Fathul Bari.." kalau tak silap saya, atau kitab tafsir Tabari yang saya sebut kepada dia pada ketika itu, "...telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia." Saya bercerita dalam keadaan kagum, kerana ilmu telah tersebar luas. Tapi kata al-Syeikh Basyir Ahmad Solad: "Bagi aku dia bukan perkara yang baik, dia bukan satu khabar gembira, sebaliknya dia adalah bala." terjemahan kitab Fathul Bari ke bahasa Indonesia itu satu bala kata dia. Kerana nanti ada orang yang tidak ada asas pengajian Islam, bila dia baca Fathul Bari, dia tak tahu apa perkara yang perlu diambil, apa yang perlu ditinggalkan, apa yang hanya sekadar dibaca untuk maklumat sahaja, maklumat yang hanya sekadar dibaca, tidak perlu disampaikan kepada orang lain, tetapi ia berguna kepada seorang alim untuk pertimbangan, untuk perbandingan, kerana ada maklumat yang hanya sekadar untuk perbandingan bukan untuk disebarkan kepada orang ramai. Ketika itu saya rasa, kenapa syeikh cakap begitu? Tetapi hari ini, ternyata apa yang mereka bimbangkan adalah benar, طعام الأكابر سم الأصاغر makanan tokoh-tokoh yang besar, bila dimakan oleh orang-orang kecil, akan menjadi racun untuk mereka.

Maka demikianlah bahan-bahan al-Imam al-Ghazali, diambil manfaat daripadanya, sehinggakan syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah sendiri memuji dan mengakui manfaat yang ada di dalam kitab Ihya' Ulumiddin oleh al-Imam al-Ghazali, terutamanya dalam bab Zuhud, dalam bab mendidik jiwa dan seumpamanya. 

Saya pernah diberitahu oleh al-Syeikh Muhammad (Pendakwah dari Saudi), dia sendiri pernah duduk dalam majlis bersama al-Albani RH. Ada seorang mengadu kepada al-Albani tentang kawan mereka yang mengaji ugama, ada yang suka sesatkan orang itu dan orang ini, jangan ikut syeikh itu dan syeikh ini. Kata al-ALbani RH: "aku perintahkan, aku nasihatkan kepada orang tersebut, untuk dia tinggalkan kitab-kitab aku, jangan dia baca kitab aku. Tetapi suruh dia baca bab Zuhud dari kitab Ihya' Ulumiddin oleh al-Ghazali." Itu perkataan al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani RH.

Semua ini, menunjukkan manfaat diambil daripada ulama kita semua termasuk al-Imam al-Ghazali. 

Baik, (sambung baca kitab terjemahan Talbis Iblis, kata penulis:) "Kemudian muncul Abu Hamid al-Ghazali yang dia mengarang kitab berjudul Ihya' Ulumiddin, sesuai metod kaum sufi..." pada bab sufi dia, pada bab sufi lah. "Kitab ini dipenuhi oleh hadis-hadis batil." Perkara ini kita tak boleh nafikanlah. "Dalam kitab Ihya' ada hadis-hadis batil yang tidak diketahui kebatilannya, dia berbicara tentang ilmu mukasyafah yang menyimpang dari aturan fekah, dia meyakini bahawa yang dimaksudkan bintang, matahari dan bulan yang dilihat oleh Nabi Ibrahim adalah cahaya-cahaya yang merupakan tirai-tirai penutup Allah azza wa jall, bukannya bintang, matahari dan bulan yang kita ketahui. ini sejenis perkataan dari kelompok batiniyyah." 

Kita tak nafikan perkara ini. tetapi tuan-tuan, perkara-perkara berkaitan tergelincirnya para ulama ini bukan Imam Ghazali sahaja, bahkan semua orang, kita hampir boleh kata semua orang sekalipun para ulama tak selamat dari kesilapan. al-Imam al-Sakhawi, dia sebut nama tujuh orang ulama fekah Madinah. Setelah itu dia sebut: "Dikatakan siapa tulis nama tujuh orang fuqaha Madinah pada bekalan, pada bekas yang dibuat bekalan dalam permusafiran, tak akan masuk ulat makanan tersebut, tak akan busuk." (lihat di sini) Ini perkataan yang dinukilkan oleh al-Imam al-Sakhawi tanpa sebarang komentar dari beliau. Kita tinggalkan perkara-perkara seperti ini yang disebut oleh mana-mana ulama. Jangan dijaja dengan kata dia sesat dan seumpamanya. Ini bukan kerja kita. Ambil manfaat dari para ulama dan tinggalkan perkara lain.  

 

 


Cetak  
Wallahu a'lam