SDI 1216: Haid Saya Datang Semula Sebelum Sempurna Tempoh Minimum Suci Antara Haid

Soalan:

Assalamualaikum ust:
1) adakah tempoh suci antara haidh mesti mencukupi 15 hari minimumnya.
2) saya byk kali suci tak sampai 15 hari iaitu 12 atau 13 hari. Paling lama suci saya pun 17 hingga 19 hari.
3) tempoh haidh saya 8,9 hari.
4) melihat pd simptom sblm haidh, bau dan warna darah tiada perbezaan dengan darah haidh.

Terima kasih ust.

Jawapan:

Baca juga SDI 1217: Macaman Nak Kenal Darah Haid Dengan Darah Ostihadhah?

Ulama tidak sepakat dalam menetapkan tempoh minimum suci antara haid. Perbezaan ini timbul disebabkan berbezanya hasil pemerhatian dan kajian di antara mereka. Namun pandangan mereka tidak jauh perbezaan dengan penemuan moden.

Pandangan yang lebih kuat dalam masalah ini ialah pandangan jumhur (majoriti termasuk mazhab Syafi’ie) ulama yang mengatakan tempoh minimum suci antara haid ialah selama 15 hari. Pandangan ini secara asasnya disokong oleh penemuan perubatan moden yang membuktikan tempoh suci itu mestilah lebih dari 14 hari, kerana pada kebiasaannya proses ovulasi pada waktu subur akan berlaku 14 hari sebelum haid seterusnya. Oleh itu tempoh minimum suci antara dua haid mestilah lebih dari 14 hari. Jika terdapat darah yang keluar sebelum sempurna tempoh minimum ini menunjukkan darah tersebut adalah darah penyakit, bukan darah haid.

Justeru kebiasaan dan ‘uruf yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama dalam memastikan tempoh minimum suci antara dua haid merupakan pemutus untuk mengatakan; asal dan pada kebiasaannya tempoh minimum suci  antara haid adalah 15 hari.

                  Jika berlaku darah keluar kurang dari tempoh minimum ini kepada seseorang wanita, perlu diperhatikan:

  • Jika ia berlaku secara tiba-tiba, menunjukkan status darah apakah darah haid atau tidak adalah suatu yang diragui. Maka darah tersebut tidak dihukum sebagai darah haid kerana asal wanita adalah suci. Justeru darah tersebut adalah darah fasad atau istihadhah.
  • Jika menjadi kebiasaan darah datang kurang dari tempoh minimum suci antara dua haid. Ia pula berlaku berulangan dan berterusan, maka para ulama berbeza pandangan seperti berikut:

Pertama: Kebiasaannya itu diamalkan. Iaitu tempoh suci baginya berdasarkan tempoh kebiasaannya tersebut sekalipun berbeza dengan kebanyakan wanita lain. Inilah satu wajah di sisi ulama mazhab Syafi’ie. Antara mereka yang berpandangan sebegini ialah al-Imam Abu Ishak al-Isfarayini dan al-Qadhi Husain. Pandangan ini juga menjadi pilihan al-Darimi dan Abu ‘Amr bin al-Salah[1].

Dr. Hilah binti Abd al-Rahman al-Yabis mentarjihkan pandangan pertama ini. Beliau berkata:

“(Pandangan) yang terpilih ialah beramal dengan pandangan pertama. Maka dikira suci bagi hak seorang wanita yang menjadi kebiasaannya, sekalipun ia kurang dari tempoh menimum kebiasaan kebanyakan wanita dan hukum ini tidak melangkau kepada wanita selainnya. Ia adalah suatu keganjilan yang diterima bagi hak wanita tersebut dan ia tidak dianggap meruntuhkan kaedah bagi (tempoh minimum suci) haid ketika keadaan biasa (kebanyakan wanita). Perkara ini juga hendaklah setelah melakukan proses pemastian dan perincian mendalam untuk mengenali hakikat sebenar darah tersebut. Pemilihan ini juga bukan bermakna menarik balik pentarjihan pandangan yang menetapkan tempoh (tempon minimum suci antara haid), sebaliknya ia adalah hukum khas untuk keadaan terpencil - itupun didapati berlaku –“[2]

Beliau juga mendakwa, al-Imam al-Nawawi mentakwilkan, perbezaan nukilan pandangan al-Imam al-Syafi’ie, yang ada  menghukumkan wanita yang tempoh sucinya lebih pendek dari tempoh minimum kebiasaan ramai wanita lain adalah hukum untuk wanita tersebut sahaja.

Insyaallah, puan boleh beramal dengan pandangan ini jika memenuhi syarat yang dinyatakan iaitulah ia berlaku berulangan, berterusan dan menjadi kebiasaan darah haid puan. Apatah lagi ia memiliki ciri-ciri darah haid yang jelas. Saya juga menasihati puan untuk merujuk permasalah puan dengan doktor pakar berkaitan.

Kedua: Darah yang datang sebelum sempurna tempoh minimum suci itu tidak dikira sebagai darah Haid. Inilah pandangan muktamad mazhab Syafi’ie.[3]

Ketiga: Darah yang datang sebelum sempurna tempoh minimum suci itu tidak dikira sebagai haid, melainkan jika kehadiran awalnya bertepatan dengan mana-mana tempoh minimum suci yang ada disebut oleh ulama salaf (19 hari – satu pandangan di sisi ulama mazhab Hanafi -, 15 hari – majoriti ulama - , 13 – pandangan masyhur ulama Hambali -, 10 - sebahagian ulama mazhab maliki -, 8 hari  - sebahagian ulama mazhab maliki - & 5 hari (satu pandangan ulama Maliki).    

----------------------- 

[1] Lihat Nihayah al-Matlab 1/321 dan al-Majmu’ 2/381

[2] Aqall al-Tuhr Bain al-Haidatain; Rukyah Fiqhiyyah Tibbiyyah

[3] Lihat Nihayah al-Matlab 1/321 dan al-Majmu’ 2/381


Cetak  
Wallahu a'lam