Baki RM30K Dari Pinjaman RM50K Wajib Zakat Atau Tidak?

Soalan:

Salam. Maaf mengganggu. Saya ada pertanyaan, sy telah membuat pinjaman loan bank 50k tahun2 lepas dan telah guna 20k. Baki semasa ada lagi 30k.  Perlu ke bayar zakat?

Jawapan:

Pandangan Jadid al-Imam al-Syafie[1] menyatakan orang berhutang yang memiliki harta yang sampai nisab, apabila sempurna haul, wajib mengeluarkan zakat. Inilah juga pandangan Hammad dan Rabi‘ah.[2] Mereka menyatakan hutang tidak menggugurkan zakat. Pandangan ini lebih ahwath iaitulah lebih bersikap berhati-hati dan lebih dapat melepaskan tanggungjawab (أبرأ للذمة).

            Alasan mereka, seseorang muslim merdeheka yang memiliki harta zakat yang sampai nisab dan sempurna haul, wajib menunaikan zakat dari hartanya itu berdasarkan keitlaqan dalil mewajibkan zakat dari harta yang dimiliki. Jika berdasarkan pandangan ini, maka RM30K tersebut adalah harta yang dimiliki oleh anda sebagai peminjam, anda juga bebas menggunakannya, maka wajib dikeluarkan zakat apabila sempurna haul. Selain lebih ahwath dan lebih dapat melepaskan tanggungjawab, pandangan ini juga lebih dapat menjamin hak orang-orang miskin.

Namun tidak dinafikan, jika pandangan ini dipraktikkan kepada setiap peminjam, pasti akan ada yang terbeban terutamanya kepada mereka yang sememangnya dari kalangan orang-orang susah.

Pandangan jadid Imam Syafie ini berbeza dengan pandangan majoriti ulama yang mengatakan hutang menggugurkan kewajipan zakat bagi harta batinah dan wang termasuk di dalamnya. Itupun jika hutang yang ditanggung melebihi harta yang dimiliki. Demikian juga jika dilangsaikan hutang keseluruhannya, seseorang itu tidak lagi memiliki harta mencapai nisab.

Jika diperhatikan kepada alasan-alasan yang diberi oleh majoriti ulama, kita akan dapati alasan yang diberikan juga adalah kuat. Antara alasan tersebut ialah:

  1. Pemilikan harta peminjam adalah pemilikan yang lemah dan pemilikan yang tidak sempurna dari sudut hartanya tersebut masih boleh dituntut oleh pemberi hutang dan pemberi hutang masih berhak terhadapnya.
  1. Pemberi hutang masih dituntut mengeluarkan zakat terhadap wang atau harta yang diberi pinjam kepada orang lain. Kerana harta yang diberi pinjam itu adalah hartanya, dialah pemilik sebenar harta tersebut. Jika diwajibkan zakat dikeluarkan oleh peminjam. Ini bermakna kita telah mewajibkan dua kali zakat atas harta yang sama.
  • Kewajipan zakat adalah untuk membantu orang-orang yang memerlukan. Penghutang atau peminjam adalah mereka yang memerlukan harta untuk melangsaikan hutang. Ia sama seperti keperluan orang miskin dan fakir memenuhi hajat mereka.

Alasan-alasan yang diberikan oleh majoriti ulama ini tidak wajar diabaikan begitu sahaja. Perincian yang dilontarkan oleh sebahagian ulama dalam kalangan majoriti ini wajar diambil kira. Di mana hutang yang menggugurkan zakat adalah hutang yang sama kadarnya dengan harta zakat yang dimiliki. Peminjam pula tidak memiliki harta lain yang lebih dari keperluan asasnya. Di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan:

القائِلُونَ بِأنَّ الدَّيْنَ يُسْقِطُ الزَّكاةَ فِي قَدْرِهِ مِنَ المال الزَّكَوِيِّ، اشْتَرَطَ أكْثَرُهُمْ أنْ لاَ يَجِدَ المُزَكِّي مالًا يَقْضِي مِنهُ الدَّيْنَ سِوى ما وجَبَتْ فِيهِ. فَلَوْ كانَ لَهُ مالٌ آخَرُ فائِضٌ عَنْ حاجاتِهِ الأْساسِيَّةِ، فَإنَّهُ يَجْعَلُهُ فِي مُقابَلَةِ الدَّيْنِ، لِكَيْ يَسْلَمَ المال الزَّكَوِيُّ فَيُخْرِجَ زَكاتَهُ.

Maksudnya: “Dan ulama yang mengatakan hutang menggugurkan zakat, pada kadar hutang yang sama dengan harta zakat. Kebanyakan mereka yang berpandangan sebegini mensyaratkan pengeluar zakat tidak memiliki harta (lain) untuk melangsaikan hutang melainkan apa-apa (harta yang dimilikinya) yang wajib zakat pada harta tersebut. Jika dia memiliki harta lain yang berlebihan dari keperluan-keperluan asasnya, maka jadikan himpunan harta lebihan tersebut sepadan dengan nilai hutangnya, agar dia dapat mengeluarkan zakat dari harta zakat yang ada padanya.

ثُمَّ قَدْ قال المالِكِيَّةُ والحَنابِلَةُ: إنَّهُ يَعْمَل بِذَلِكَ سَواءٌ كانَ ما يَقْضِي مِنهُ مِن جِنْسِ الدَّيْنِ أوْ غَيْرِ جِنْسِهِ. فَلَوْ كانَ عَلَيْهِ دَيْنٌ مِائَتا دِرْهَمٍ وعِنْدَهُ عُرُوضُ قُنْيَةٍ تُساوِي مِائَتَيْ دِرْهَمٍ فَأكْثَرَ وعِنْدَهُ مِائَتا دِرْهَمٍ، جَعَل العُرُوضَ فِي مُقابَلَةِ الدَّيْنِ لأِنَّهُ أحَظُّ لِلْفُقَراءِ.

Kemudian ulama mazhab Maliki dan Hambali mengatakan: “perkara itu berlaku, sama ada yang dilaksanakan itu dari jenis harta yang sama dengan hutang atau dari jenis lain. Jika seseorang memiliki hutang 200 dirham, dia juga  memiliki ‘Urudh Qunyah (barangan yang bukan untuk dijual-beli seperti rumah, kereta dan seumpamanya) menyamai nilai 200 dirham atau lebih dan dia juga memiliki 200 dirham tunai, dia jadikan himpunan ‘Urudh Qunyah tersebut sepadan dengan hutang (maka peminjam memiliki harta lain. Bolehlah dia keluarkan zakat dari 200 dirham) kerana cara itu lebih memberi kebaikan kepada golongan fakir.  

وكَذا إنْ كانَ عَلَيْهِ دَيْنٌ ولَهُ مالاَنِ زَكَوِيّانِ، لَوْ جَعَل أحَدَهُما فِي مُقابِل الدَّيْنِ لَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ زَكاةٌ، ولَوْ جَعَل الآْخَرَ فِي مُقابَلَةِ الدَّيْنِ كانَ عَلَيْهِ زَكاةٌ، فَإنَّهُ يَجْعَل فِي مُقابَلَةِ الدَّيْنِ ما هُوَ أحَظُّ لِلْفُقَراءِ، كَمَن عَلَيْهِ دَيْنٌ مِائَةُ دِرْهَمٍ ولَهُ مِائَتا دِرْهَمٍ وتِسْعٌ مِنَ الإْبِل، فَإذا جَعَلْنا فِي مُقابَلَةِ الدَّيْنِ الأْرْبَعَةَ مِنَ الإْبِل الزّائِدَةَ عَنِ النِّصابِ لِكَوْنِ الأْرْبَعَةِ تُساوِي المِائَةَ مِنَ الدَّراهِمِ أوْ أكْثَرَ مِنها وجَبَ ذَلِكَ رِعايَةً لِحَظِّ الفُقَراءِ، لأِنَّنا لَوْ جَعَلْنا مِمّا مَعَهُ مِنَ الدَّراهِمِ مِائَةً فِي مُقابَلَةِ الدَّيْنِ سَقَطَتْ زَكاةُ الدَّراهِمِ.

“Demikian juga jika seseorang menanggung hutang, (dalam masa yang sama) dia juga memiliki dua jenis harta zakat (yang lain). Jika dia jadikan himpunan salah satu dari dua harta zakatnya sepadan hutang, menjadikan dia tidak wajib mengeluarkan zakat, manakala harta zakat yang satu lagi apabila himpunannya sepadan dengan hutang menjadikan dia wajib keluarkan zakat, maka dia jadikan harta zakat ini sepadan dengan hutang, kerana ia lebih mendatangkan keberuntungan kepada golongan fakir. Seperti seorang yang menanggung hutang sebanyak 100 dirham. Dia pula memiliki 200 dirham dan juga sembilan ekor unta. Jika kita jadikan yang sepadan dengan hutang adalah empat ekor unta, lebihan nisab (bermula nisab zakat unta apabila mencecah 5 ekor, zakatnya seekor kambing) kerana empat ekor unta menyamai nilai 100 dirham atau lebih, maka wajib zakat atas harta tersebut (zakat atas lima ekor unta) sebagai memelihara hak golongan fakir. Ini kerana jika tunai 100 dirham yang dimilikinya dijadikan bandingan setimpal hutang yang dipikulnya, gugurlah zakat wang tunai (yang berbaki padanya) tersebut (baki 100 dirham tidak wajib zakat kerana nisab zakat adalah 200 dirham).”  (23/247-248)

Justeru kedudukan RM30k baki hutang yang ada pada saudara adalah seperti berikut:

  1. Jika RM30k itu adalah satu-satunya harta yang dimiliki. Maka berdasarkan pandangan jadid mazhab Syafie, anda wajib mengeluarkan 2.5% darinya sebagai zakat apabila sempurna haul. Beramal dengan pandangan ini adalah tindakan lebih berhati-hati dalam agama dan lebih dapat membebaskan tanggungajawab.
  1. Anda juga berhak berpegang dengan pandangan majoriti ulama yang mengatakan hutang menggugur zakat harta batinah jika RM30K itu merupakan satu-satunya harta yang anda miliki
  1. Namun jika anda memiliki harta lain lebihan dari keperluan asas, seperti anda memiliki tanah bernilai 100k, maka anda wajib mengeluarkan zakat 2.5% dari RM30k tersebut apabila sempurna haulnya.

--------------------------------- 

[1] Kata al-Imam al-Nawawi RH di dalam Minhaj al-Talibin: “Hutang tidak menghalang kewajipan zakat.”.

[2] Pandangan Jadid al-Imam al-Syafie, Hammad dan Rabi‘ah ini berbeza dengan pandangan majoriti ulama. Ibn Rusyd di dalam Bidayah al-Mujtahid menyatakan sebab perbezaan pendapat iailah perbezaan penilaian apakah zakat ini ibadah atau ia sebenarnya adalah hak yang ada dari sesuatu harta untuk diserahkan kepada orang miskin. Ulama yang berpandangan zakat itu adalah hak yang perlu diserahkan kepada orang miskin berpandangan tiada zakat dikenakan ke atas orang-orang yang berhutang. Ini kerana harta yang berada di tangan pemiutang (orang yang berhutang)  pada hakikatnya adalah harta orang yang memberi hutang. Manakala ulama yang berpandangan zakat merupakan satu ibadat, maka wajib mengeluarkan zakat bagi sesiapa yang memiliki sesuatu harta di tangannya, sama ada dia memiliki hutang ataupun tidak, kerana keberadaan harta yang dimilikinya adalah syarat diperintahkan mengeluarkan zakat. Selain itu apabila bertempung antara hak (pemilik wang) dengan hak Allah (perintah mengeluarkan zakat kepada orang miskin), maka hak Allah lebih berhak dilaksanakan


Cetak  
Wallahu a'lam