SDI 1203: Apa Dalil Mazhab Syafie Tetapkan Jumlah 40 Untuk Solat Jumaat?

Soalan: 

Apa dalil mazhab syafie tetapkan solat jumaat kena ada 40 orang ustaz?

Jawapan: 

Antara dalil ulama mazhab al-Syafie dalam menetapkan jumlah 40 orang untuk solat Jumaat ialah hadis yang didatangkan oleh al-Baihaqi dan Ashab lainnya daripada 'Abd al-Rahman bin Ka'ab bin Malik daripada bapanya yang berkata: : 

أَوَّلَ مَنْ جَمَّعَ بِنَا بِالْمَدِينَةِ أسعد بن زرارة قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -  فِي نَقِيعٍ الْخَضِمَاتُ قُلْتُ: وَكَمْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: أَرْبَعُونَ رَجُلًا

Maksudnya: "Orang pertama yang menghimpunkan kami di Madinah (untuk solat Jumaat) ialah As'ad bin Zurarah sebelum ketibaan Nabi SAW di Madinah, iaitulah di kawasan bernama Naqi' al-Khadhimat. AKu (Abd al-Rahman) berkata: "Berapa jumlah kamu semua ketika itu?" Jawab bapanya: "40 orang lelaki."

Kata al-Nawawi selepas menyebut hadis ini di dalam al-Majmu': "Hadis hasan, diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Baihaqi dan selain mereka berdua dengan sanad-sanad yang sahih. Kata al-Baihaqi dan selain beliau: Hadis ini sahih."

Muhammad Najib al-Muti'ie yang mentahkik dan menta'lik kitab al-Majmu' berkata: "Hadis ini diriwayatkan oleh ABu Daud, Ibn Majah dan al-Baihaqi. 'Abd al-Rahman bin Ka'ab ketika itu pembimbing bapanya (Ka'ab) setelah beliau buta. Abd al-Rahman juga berkata: "Dahulunya bapaku apabila mendengar azan pada hari Jumaat (azan Jumaat) beliau akan memohon rahmat kepada Sa'ad bin Zurarah. beliau berkata: "lalu aku bertanya kepada bapaku" Apabila kamu mendengar azan, kamu akan memohon rahmat kepada As'ad bin Zurarah?" Jawab bapaku: "Kerana beliau (As'ad bin Zurarah) adalah orang pertama yang menghimpunkan kami di Hazm al-Bait di Harrah Bani Bayadhah di Naqi' yang disebut Naqi' al-Khadhimat." AKu bertanya: "Berapa orang kamu semua ketika itu?" Beliau menjawab: "40 orang lelaki." Hadis diriwayatkan oleh Ibn Hibban di dalam Sahihnya dan dinilai Hasan oleh al-Hafidz Ibn Hajar."

Bentuk pendalilan dari hadis ini di sisi Ashab ulama mazhab syafi'ie ialah: Telah berlaku ijmak mensyaratkan bilangan (untuk solat Jumaat). Pada asalnya adalah solat Zohor, tidak sah Jumaat melainkan dengan bilangan yang thabit. Maka riwayat ini menthabitkan boleh menlaksanakan Jumaat dengan bilangan jemaah 40 orang. Tidak boleh dengan jumlah yang kurang daripada 40 melainkan mesti ada dalil yang jelas, sedangkan nabi bersabda: "Tunaikan solat sepertimana kamu semua melihat aku menunaikan solat" sedangkan tidak thabit baginda pernah menunaikan solat Jumaat kurang dari 40 orang.

Ada Hadis berkaitan kisah yang disebut dalam surah al-Jumuah, di mana para sahabat berkerumun pergi ke tempat berjual beli dan meninggalkan Nabi SAW bersama 12 orang jemaah solat Jumaat, di sisi ulama mazhab syafie mengatakan tinggal 12 itu bukan berlaku pada permulaan solat. Selain itu difahami juga dari peristiwa yang berlaku tersebut, mereka semua kembali semula kepada Nabi SAW utk solat Jumaat.

Jawapan ini untuk soalan "apa dalil mazhab al-Syafi'ie". Baca juga Dalil Ulama Tidak Mensyaratkan Jumalah 40 Untuk Solat Jumaat


Cetak  
Wallahu a'lam