Soalan:
Assalamualaikum ustaz.
Adakah ukuran dua kolah untuk air mutlaq itu wujud di zaman nabi saw?
Jawapan:
Ukuran dua Qullah bagi membezakan antara air sedikit dan banyak ada di sebut di dalam hadis Nabi SAW:
إذا كان الماء قلتين لم يحمل الخبث
Maksudnya: “Apabila air sampai dua qullah, ia tidak memikul najis.” (Hadis riwayat al-Arba’ah dan dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah, al-Hakim dan Ibn Hibban)
Qullah suatu yang ma’ruf di zaman Nabi SAW. Ia disebut di dalam sya’ir-syair ‘Arab dan dikuatkan dengan adanya sebutan pluralnya di dalam hadis sahih antaranya riwayat al-Imam al-Bukhari, baginda SAW bersabda:
ثم رفعت إلى سدرة المنتهى، فإذا نبقها مثل قلال الهجر، وإذا ورقها مثل آذان الفيلة
Maksudnya: “…Kemudian aku dinaikkan ke Sidrah al-Muntaha. Buah-buahnya (bagi pokok Sidrah al-Muntaha) seperti Qilal al-Hajar dan daun-daunnya seperti telinga-telinga gajah…”[1]
Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani:
“Kata al-Khattabi: al-Qilal dengan baris kasrah (huruf Qaf) adalah plural untuk qullah iaitulah al-Jirar (bekas besar dibuat dari tanah yang dibakar). Baginda hendak memberi tahu besar buahnya adalah seperti al-Qilal yang dikenali oleh mereka yang diajukan percakapan (oleh baginda), kerana itu berlaku perumpamaan dengannya.” Katanya lagi: “ianya (qullah) berlaku penetapan air yang banyak dalam sabda baginda: “Apabila air mencecah dua qullah…” Sabda baginda pula: “Hajar” dengan baris fathah huruf Ha dan Jim adalah nama bandar…”
Hadis ini menunjukkan qullah bukan sahaja digunakan di zaman Nabi SAW. Bahkan ukurannya juga suatu yang ma’ruf dan diketahui oleh masyarakat 'Arab di zaman tersebut.
Kata al-Baihaqi[2]:
“Qilal Hajar adalah suatu yang masyhur di sisi mereka (‘Arab dahulu). Kerana itu Rasulullah SAW mengumpamakan apa yang baginda lihat pada malam al-Mi’raj dari buah (bagi pokok) Sidrah al-Muntaha (baginda bersabda): “Apabila (aku melihat) daun-daunnya (pokok Sidrah al-Muntaha) seperti Azan al-Fiyalah (telinga-telinga gajah), buah-buahnya seperti qilal hajar.”
Oleh yang demikian para ulama mazhab Syafi’ie menjadikan hadis ini sebagai bukti ukuran qullah adalah suatu yang makruf dan diketahui di kalangan sahabat, sehingga qilal hajar menjadi satu perumpaan menunjukkan contoh saiz, maka ia suatu yang dikenali dan diketahui di kalangan ‘Arab dahulu termasuk Nabi SAW dan para sahabat.
Kata Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri RH:
“Kalaulah qilal hajar ini satu yang diperselisihkan kadarnya, sudah tentu mereka (para sahabat) tidak akan dapat mengetahui perumpamaan kadar buah pokok Sidrah al-Muntaha. Sudah tentulah juga pernyataan itu suatu yang sia-sia. Maka apabila telah thabit apa yang kami nyatakan ini dari nas dan istidlal bahawa dua qullah menurut qilal hajar, maka bukanlah ia didatangkan dari Hajar di Bahrain, sebaliknya ia dibuat di Madinah. Mereka (para ulama) berbeza pandangan berkaitan sebab ia (Qilal) dinisbahkan kepada Hajar. Kata sebahagian mereka, kerana ia dibuat di satu kampung di Madinah yang bernama Hajar. Kata yang lain pula: ia dinamakan sedemikian kerana ianya dibuat dalam rupa bentuk seperti qilal hajar, seperti dikatakan “thaub marwiy” sedangkan ia dibuat di ‘Iraq, dinamakan sedemikian kerana ia seperti apa-apa (baju) yang dikenali di Marwa.”[3]
Hasil ijtihad para ulama mazhab Syafi'ie mendapati dua qullah adalah bersamaan 160.5 liter, rujuk di sini
[1] Potongan dari hadis yang panjang dalam Sahih al-Bukhari Bab al-Mi’raj hadis no 3750 bersama Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani RH 7/242, tahkik oleh ‘Abd al-Qadir Syaibah al-Hamd, cetakan pertama 1421H/2001M, dengan pembiayaan Sahib al-Sumuw al-Malaki al-Amir Sultan bin ‘Abd al-Aziz Ali Sa’ud.
[2] Lihat al-Mausu’ah al-Hadithiyyah: Sunan al-Daraqutni bersama al-Ta’liq al-Mughniy ‘Ala al-Daraqutni oleh al-‘Allamah Abi al-Tayyib Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim Abadiy, tahkik Syu’aib al-Arna-outh, Hasan ‘Abd al-Mun’im Syalabi, ‘Abd al-Latif Hirza Allah dan Ahmad Barhum, dengan seliaan penerbitan Dr. ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki, cetakan pertama 1424H/2004M, cetakan Muassasah al-Risalah, Lebanon.
[3] Lihat al-Hawi al-Kabir Syarh Mukhtasar al-Muzani oleh Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Basri, tahkik al-Syeikh ‘Ali Muhammad Mu’awwadh dan al-Syeikh ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud, 1/334, cetakan pertama 1414H/1994M, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Lebanon.