Sunat al-Ab’adh سنن الأبعاض dan Sunat al-Hai-at سنن الهيئات
Sunat al-Ab’adh menurut istilah ulama mazhab al-Syafi’ie ialah: sunat yang dapat ditampung dengan melakukan sujud sahwi, ia berbeza dengan sunat al-Hai-at. Contoh sunat al-Ab’adh ialah qunut Subuh, qunut dalam solat Witir bahagian kedua Ramadan, berdiri untuk melakukan qunut, tasyahhud awal dan duduk tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW berdasarkan pandangan al-Azhar (klik maksud al-Azhar). Ia dinamakan al-Ab’adh kerana ia sunat yang ditekankan dengan adanya sujud Sahwi sebagai menampung kecicirannya, menjadikan ia seperti perkara-perkara rukun solat yang menjadi bahagian-bahagian tersendiri di dalam solat. Ia (sunat ab'adh) dapat dikenali dengan beberapa tanda seperti:
- Ia ditampung dengan sujud Sahwi jika terlupa, berbeza dengan sunat al-Hai-at.
- Ia merupakan sunat yang bersendirian dan tidak bergantung kepada perbuatan lain di dalam solat, berbeza dengan sunat al-Hai-at yang bersifat menuruti dan bergantung kepada perbuatan rukun-rukun solat, seperti lafaz-lafaz takbir, bacaan-bacaan tasbih dan bacaan-bacaan doa ketika berdiri, ruku’, I’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud.
- Sunat Ab’adh memiliki tempat khas untuknya, berbeza dengan sunat hai-at yang tidak memiliki tempat khas. Sebaliknya ia berada di dalam rukun-rukun solat yang berbagai.
- Sunat Ab’adh tidak dituntut melakukannya di luar solat melainkan selawat ke atas Nabi SAW. Berbeza dengan sunat hai-at, ia tetap dituntut dilakukan di luar solat seperti kalimah-kalimah tasbih, takbir dan selainnya terdiri dari lafaz-lafaz zikir dan doa yang dianjurkan membacanya sama ada di dalam solat mahupun di luarnya.
- Sunat Ab’adh makruh ditinggalkan dengan sengaja di sisi ulama mazhab Syafi’ie sekalipun ia tidak membatalkan solat. Namun tetap dianjurkan sujud sahwi sama seperti anjuran sujud sahwi berdasarkan pandangan muktamad ulama Syafi’ie jika meninggalkannya kerana terlupa. Ini kerana, dalam kedua-dua situasi tersebut (tinggal kerana lupa atau sengaja) telah berlakunya kekurangan di dalam solat, bahkan kekurangan kerana sengaja meninggalkannya adalah lebih banyak (teruk), maka ia lebih perlu ditampung dengan sujud sahwi. Namun pandangan ini berbeza dengan pandangan marjuh di sisi ulama Syafi’ie yang beranggapan sengaja meninggalkan sunat Ab’adh tiada lagi sujud sahwi disebabkan sikap mengurangkan/meringankan sunnah yang ada pada diri seseorang. Berbeza dengan terlupa yang termasuk dalam satu keuzuran, lalu sesuai disyari’atkan untuknya sujud untuk menampung kekurangan yang berlaku.
- Sepadan dengan sunat Ab’adh ini di sisi ulama mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali adalah (perbuatan-perbuatan) wajib (solat). Di sisi ulama mazhab Hanafi perbuatan wajib solat ialah perbuatan yang tidak membatalkan solat dengan meninggalkannya. Akan tetapi wajib mengulanginya jika sengaja ditinggalkan ataupun terlupa jika tidak melakukan sujud sahwi bagi keadaan terlupa. Jika tidak diulangi (solat), orang itu berdosa, namun solatnya tetap sah dalam kedua-dua keadaan (tinggal perbuatan wajib kerana lupa atau sengaja).
- Di sisi ulama mazhab Hanbali, jika sengaja meninggalkan perkara-perkara wajib yang sepadan dengan sunat ab’adh (dalam mazhab Syafi’ie) ini membatalkan solat. Di sisi mazhab Hanafi dan Hanbali wajib sujud sahwi jika meninggalkan perkara-perkara wajib ini kerana terlupa.
- Adapun ulama mazhab Maliki berpandangan (sunat) al-Ab’adh adalah sunnah sama seperti ulama mazhab Syafi’ie, sekalipun mereka (ulama mazhab Maliki) tidak menamakannya sebagai sunat al-Ab’adh. Demikian juga sujud Sahwi itu adalah sunnah juga di sisi mereka. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 8/126-127)