Kedudukan Mengangkat Tangan Ketika Khatib Berdoa Pada Hari Jumaat  

Tuesday, May 26, 2015

Kedudukan Mengangkat Tangan Ketika Khatib Berdoa Pada Hari Jumaat

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

 

Pada asalnya seseorang yang berdoa adalah dengan mengangkat kedua belah tangannya berdasarkan sabda Nabi SAW:

إنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Pemalu dan Pemurah apabila seseorang mengangkat kedua belah tangan berdoa kepadaNya, lalu orang itu menjatuhkan kedua tangannya dalam keadaan tidak memperolehi apa-apa.” (HR al-Tirmizi (3556). Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Tirmizi)

Di dalam kitab syarah kepada Sunan al-Tirmizi, Tuhfah al-Ahwazi dinyatakan: “Di dalam hadis ini terdapat petunjuk akan sunatnya mengangkat dua tangan di dalam doa dan hadis-hadis tentang hal ini adalah banyak sekali.”

            NAMUN, keadaan ini terkecuali bagi Khatib yang berdoa pada hari Jumaat di dalam Khutbah. Perkara yang sebenar bagi seorang khatib ketika berdoa di dalam khutbah ialah dengan hanya mengisyaratkan dengan jari telunjuknya. Demikian juga makmum. Mereka tidak perlu mengangkat tangan ketika mengaminkan doa khatib ketika khutbah Jumaat kerana mengikuti perbuatan khatib.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Umarah bin Ru’aibah (عُمَارَةَ بْنِ رُؤَيْبَةَ seorang sahabi), bahawa beliau pernah melihat Bisyr bin Marwan (بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ) berada di atas mimbar berkhutbah dalam keadan mengangkat kedua tangannya – dalam riwayat Abu Daud ada tambahan: “Dia sedang berdoa pada (khutbah) hari Jumaat.” – Lalu Bisyr berkata:

قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ

Maksudnya: “Semoga Allah memburukkan kedua belah tangannya. Sesungguhnya daku telah melihat Rasulullah SAW tidak pernah menambah lebih dari berdoa dengan tangan baginda sebegini.” Lalu beliau mengisyaratkan dengan telunjuknya.” (HR Muslim 874 dan Abu Daud 1104)

Al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata:

فيه أن السنة أن لا يرفع اليد في الخطبة وهو قول مالك وأصحابنا وغيرهم

Maksudnya: “Pada hadis ini, bahawa Sunnah ialah tidak diangkat tangan ketika (berdoa) khutbah (Jumaat), dan inilah pandangan Malik dan Ashab kami (mazhab al-Syafie) dan selain mereka.” (Lihat Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi 6/162)

Al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan pula:

والحديث يدل على كراهة رفع الأيدي على المنبر حال الدعاء

Maksudnya: “Dan hadis ini menunjukkan makruhnya mengangkat tangan di atas mimbar ketika berdoa.” (Tuhfah al-Ahwazi cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, oleh Muhammad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Rahim al-Mubarakfuri. Kitab al-Jumu’ah ‘An Rasulillah SAW – Bab Ma Ja’a Fi Karahiyyah Raf’i al-Aidi ‘Ala al-Mimbar. Hadis: 515)

            Tidak dinafikan terdapat juga pandangan yang mengatakan, sunat seorang khatib mengangkat kedua belah tangannya ketika berdoa di dalam khutbah Jumaat. Dengan alasan bahawa hukum asal ketika berdoa adalah dengan mengangkat kedua belah tangan secara mutlak. Namun pandangan ini dianggap lemah berdasarkan alasan-alasan berikut:

  1. Hadis-hadis yang menunjukkan tidak sunat mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa dalam khutbah Jumaat adalah hadis-hadis yang Khas. Maka berdasarkan kaedah al-Khas hendaklah didahulukan berbanding yang al-‘Am.
  1. Banyak tempat berdoa ketika di dalam solat antaranya ketika Doa al-Iftitah, doa ketika duduk antara dua sujud, ketika al-Tasyahhud dan seumpamanya. Jika berdasarkan kaedah umum asal doa adalah dengan mengangkat tangan. Maka apakah sunat mengangkat tangan di dalam solat pada tempat-tempat ini?

-       Jika ada yang mengatakan Sunat. Maka sesungguhnya pandangan tersebut telah menyalahi Sunnah yang diamalkan oleh generasi umat Islam sepanjang zaman.

-       Jika dikatakan tidak disyariatkan mengangkat kedua belah tangan pada situasi-situsi dalam solat tersebut disebabkan tidak dinukilkan kepada kita dari perbuatan Nabi SAW. Maka jawapan yang sama digunakan dalam persoalan mengangkat dua tangan ketika berdoa di dalam khutbah Jumaat. Bahkan tidak disyari’atkan mengangkat kedua belah tangan di dalam khutbah Jumaat adalah lebih kuat kerana terdapat nukilan yang menafikan baginda mengangkat kedua belah tangan iaitulah antaranya hadis daripada ‘Umarah bin Ru’aibah.

  1. Jika dikatakan pula, hadis ‘Umarah bin Ru’aibah terdapat penafian mengangkat tangan ketika berdoa di dalam khutbah Jumaat. Namun di dalam hadis lain terdapat pengithbatan (المُثْبِت) iaitulah Nabi SAW mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa al-Istisqa’. Maka kaedah menyatakan المثبت مقدم على النافي iaitulah: “Yang mengithbathkan hendaklah didahulukan berbanding yang menafikan.” Maka jawapannya adalah seperti berikut:

-       Kaedah تقديم المثبت على النافي di sisi jumhur ulama diamalkan ketika tidak dapat dilaksanakan الجمع atau menggabungkan dalil-dalil. Dalam permasalahan ini, hadis tentang baginda mengangkat kedua tangan ketika berdoa al-Istisqa’ di dalam khutbah itu boleh diJAMAKkan dengan difahami pensyariatan mengangkat tangan HANYA ketika doa al-Istisqa di dalam khutbah. Maka hadis ‘Umarah bin Ru’aibah tetap diamalkan dengan dikekalkan larangan itu di dalam doa khutbah Jumaat selain al-Istisqa’.

-       Selain itu, tidak boleh diterima pandangan yang mengatakan hadis ‘Umarah bin Ru’aibah terdapat penafian sahaja. Sebaliknya hadis ini sebenarnya terdapat penafian dan pengithbatan. Di mana di dalam hadis ini ada pengithbatan sifat doa yang disyariatkan ketika berkhutbah Jumaat iaitulah dengan berisyarat dengan jari telunjuk. Maka dalam berinteraksi dengan dua hadis ini, kaedah تقديم المثبت على النافي tidak dapat dipraktikkan.


Cetak  
Wallahu a'lam