Soalan:
Sewaktu imam memuji dan memuja Allah ketika membaca qunut, apakah makmum perlu menyebut amin? Bagaimana pula ketika imam membaca selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut?
Jawapan:
Ketika imam memuji dan memuja Allah di dalam qunut seperti mengucapkan يَا جَبَّار، يَا مُنْتَقِم، يَا مُنْزِلَ الْكِتَاب dan seumpamanya, makmum boleh sama ada turut memuji Allah secara perlahan, atau diam sahaja atau menyebut أَشْهَد yang bermaksud: “Daku menyaksikan.”
Al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin berkata: أنه يقول الثناء أو يسكت وقال المتولي أو يقول: أشهد Maksudnya: “”Bahawa makmum mengungkapkan pujaan juga (kepada Allah) atau dia diam. Kata al-Mutawalli: “Atau makmum itu memnyebut: أشهد bermaksud: “aku menyaksikan.” (Lihat al-Mughniy 2/545)
Dalam al-Mughniy juga menyatakan al-Nawawi dalam al-Majmu’ dan selainnya: المشاركة أولى maksudnya: “Bersama memuji dan memuja Allah (secara perlahan) itu adalah lebih utama.” Dalam al-Tuhfah dinyatakan: “Dan makmum menyatakan pujaan kepada Allah secara perlahan adalah lebih utama.”
Manakala berkaitan selawat ke atas Nabi SAW, para ulama berbeza pandangan. Dalam kalangan ulama ada yang berpandangan selawat ke atas Nabi SAW termasuk dalam ketegori doa seperti pandangan al-Khatib dalam Mughniy al-Muhtaj. Beliau juga mendakwan inilah pandangan al-Muhib al-Tabari yang mensyarahkan kitab al-Tanbih. Manakala sebahagian lain mengatakan ia termasuk dalam ketegori thana’ atau pujaan kepada Allah SWT seperti pandangan al-Ghizziy berdasarkan nukilan oleh al-Khatib. Oleh kerana itu, dalam persoalan seumpama ini ada keluasan insyaAllah.
Lihat Juga: Jangan Sebut Amin Ketika Ungkapan Ini Di Dalam Qunut