Khutbah-kutbah Yang Disyariatkan Ketika Haji

Terdapat empat khutbah yang disyariatkan ketika Ibadah Haji

Pertama: Satu khutbah pada hari ke-7 Zulhijjah di Mekah disampaikan di sisi Ka’bah selepas solat Zohor. Dalam khutbah ini khatib mengarahkan orang ramai bersiap sedia untuk bergerak ke Mina keesokan harinya iaitulah pada hari 8 Zulhijjah yang dinamakan sebagai hari Tarwiah. Dalam khutbah tersebut khatib memberi pengajaran berkaitan ibadah haji yang akan dilakukan sehingga ke khutbah kedua yang akan disampaikan di Namirah pada keesokan harinya. Dalam khutbah tersebut Khatib menyebut berdasarkan sunnah Nabi SAW, para jemaah bergerak keluar menuju ke Mina sebelum atau selepas waktu zawal pada hari 8 Zulhijjah. Menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak di Mina, juga bermalam di sana. Seterusnya menunaikan solat Subuh di Mina dan kekal berada di Mina sehingga matahari terbit dari atas bukit thabir (ثبير). Setelah itu mula bergerak ke 'Arafah. Apabila sampai di Namirah, disunatkan mandi di sana untuk melakukan wukuf, tidak berpuasa, tidak masuk ke kawasan ‘Arafah sebelum menunaikan solat Zohor dan ‘Asar secara jama’ bersama imam dan mendengar dua khutbah yang disampaikan.

Kata Ibn ‘Umar RA:

ﻛﺎﻥ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﺇﺫا ﻛﺎﻥ ﻗﺒﻞ ﻳﻮﻡ اﻟﺘﺮﻭﻳﺔ ﺑﻴﻮﻡ ﺧﻄﺐ اﻟﻨﺎﺱ ﻭﺃﺧﺒﺮﻫﻢ ﺑﻤﻨﺎﺳﻜﻬﻢ

Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW, sehari sebelum hari Tarwiah (9 Zulhijjah), baginda menyampaikan khutbah kepada orang ramai menceritakan kepada mereka cara ibadah haji yang perlu mereka lakukan.” (Riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang jayyid seperti yang terdapat dalam al-Majmu’ oleh al-Nawawi)  

Kedua: Khutbah pada hari ‘Arafah iaitulah pada 9 Zulhijjah, disampaikan berhampiran dengan kawasan ‘Arafah di masjid Ibrahim. Perkara ini thabit dalam hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

خَطَبَنَا النَّبِيُّ ﷺ بِعَرَفَاتٍ فَقَالَ مَنْ لَمْ يَجِدْ الْإِزَارَ فَلْيَلْبَسْ السَّرَاوِيلَ وَمَنْ لَمْ يَجِدْ النَّعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ الْخُفَّيْنِ

Maksudnya: “Nabi SAW berkhutbah kepada kami di 'Arafat, baginda bersabda: “Sesiapa yang tidak memiliki kain, maka pakailah seluar. Sesiapa yang tidak memiliki selipar, maka kenakan dua khuf.”

          Khutbah ini dilakukan sebelum menunaikan solat Zohor dan ia dengan dua khutbah yang ringkas, dalam bentuk khutbah pertama lebih panjang berbanding khutbah kedua. Sekurang-kurangnya khutbah pertama pada kadar dapat mengajarkan para jemaah haji amalan-amalan haji bermula dari khutbah ‘Arafah sehinggalah khutbah yang berikutnya pada hari 10 Zulhijjah di Mina. Jika imam yang menyampaikan khutbah dari kalangan mereka yang faqih, dianjurkan untuk dia bertanya kepada jemaah: “Apakah dari kalangan anda semua ada seseorang yang mahu bertanya kemusykilan?”

          Selesai khutbah pertama, imam duduk seketika dalam kadar membaca surah al-Ikhlas, kemudian bangun untuk menyampaikan khutbah kedua dengan ringkas. Pada waktu yang sama dengan imam bangun untuk menyampaikan khutbah yang kedua, tukang azan juga bangun untuk melaungkan azan. Khutbah kedua selesai bertepatan dengan selesai dilaungkan azan.

          Termasuk dalam sunnah Nabi SAW, bermalam di Mina pada malam 9 Zulhijjah. Hukumnya adalah sunat.

Ketiga: Khutbah pada hari al-Nahr (يوم النحر) berdasarkan beberapa hadis yang sahih tentangnya. Antaranya hadis Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA yang menceritakan terdapat tiga orang lelaki yang bangun dan bertanya kepada baginda yang sedang berkhutbah pada hari al-Nahr: “aku menyangka amalan haji demikian dan demikian sebelum demikian dan demikian wahai Rasulullah.” Baginda menjawab kepada tiga orang lelaki yang bertanya tersebut: “Buatlah seperti yang kamu lakukan itu, tidak mengapa.” (al-Bukhari dan Muslim)

Keempat: Khutbah pada hari al-Nafar al-Awwal (ﻳﻮﻡ اﻟﻨﻔﺮ الأول) di Mina, iaitulah pada hari hari tasyriq yang kedua. Hal ini berdasarkan hadis Abdullah bin Abi Najih daripada bapanya daripada dua orang lelaki Bani Bakr yang berkata:

ﺭﺃﻳﻨﺎ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻳﺨﻄﺐ ﺃﻳﺎﻡ اﻟﺘﺸﺮﻳﻖ ﻭﻧﺤﻦ ﻋﻨﺪ ﺭاﺣﻠﺘﻪ ﻭﻫﻲ ﺧﻄﺒﺔ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ اﻟﺘﻲ ﺧﻄﺐ ﺑﻤﻨﻰ

Maksudnya: “Kami telah melihat Rasulullah SAW berkhutbah pada hari-hari Tasyriq, ketika itu kami berhampiran unta baginda. Khutbah tersebut adalah khutbah baginda yang disampaikan di Mina.” (Abu Daud dengan isnad yang sahih).

Para ulama mazhab Syafi‘e menyatakan semua khutbah ini dilakukan sekali dan selepas solat Zohor, melainkan khutbah ‘Arafah yang dilakukan sebelum solat Zohor, selepas zawal dan sebanyak dua khutbah. Demikian juga dalam setiap khutbah itu diterangkan hukum-hakam berkaitan perlaksanaan ibadat haji yang perlu dilakukan sehingga khutbah yang berikutnya. Kata al-Imam al-Syafi'e RH: وَإِنْ كَانَ الَّذِي يَخْطُبُ فَقِيهًا قَالَ هَلْ مِنْ سَائِلٍ maksudnya: "Jika yang berkhutbah itu seorang faqih, maka dia boleh bertanya: "Apakah ada yang mahu bertanyakan kemusykilan?"  


Cetak  
Wallahu a'lam