SDI 1791: Perlukah Kita Membaca Qunut Setiap Kali Solat Witir

Fiqh Ibadat Jumlah paparan: 75

Soalan 3

Berkaitan dengan qunut dalam solat witir. Perlukah kita membaca qunut setiap kali solat witir, secara berterusan setiap hari? Ini kerana kebiasaan di kalangan Masyarakat adalah membaca qunut hanya pada akhir bulan Ramadan.

Jawapan:

Membaca qunut dalam solat Witir pada separuh akhir bulan Ramadan adalah pandangan ulama mazhab Syafie.

Baca juga:

Qunut Solat Witir

Bila Dilakukan Qunut Witir

https://Bila Dilakukan Qunut Witir

Syeikh al-'Ulwan: Qunut Witir

Para ulama berbeza pandangan berkaitan hukum Qunut dalam solat Witir. secara ringkasnya adalah seperti berikut:

  1. Disyariatkan melakukan qunut dalam solat witir. Inilah pandangan majoriti ulama terdiri daripada ulama Hanafiah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah dan salah satu riwayat daripada Malik.

Antara dalil dalam perkara ini ialah sebuah hadis daripadaal-Hasan bin ‘Ali RA yang berkata:

عَلَّمني رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم كلماتٍ أقولهنَّ في قُنوتِ الوِترِاَللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِيْ فِيْمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِيْ فِيْمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيْتَ؛ فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

 Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadaku beberapa kalimat untuk daku ungkapkan di dalam qunut Witit (iaitulah): “Ya Allah kurniakanlah hidayah kepadaku dan jadikan daku dari kalangan mereka yang Dikau kurniakan hidayah-Mu, kurniakan kemaafan kepadaku dan jadikan daku dari kalangan mereka yang Dikau kurniakan kemaafan-Mu, Jadilah wali kepadaku sepertimana Dikau menjadi wali kepada kekasih-Mu, berkatilah untukku dalam apa-apa yang Dikau kurniakan kepadaku, lindungilah daku dari keburukan apa-apa yang telah Dikau tetapkan untukku, Sesungguhnya Dikaulah yang memutuskan hukuman, dan tidak dijatuhkan hukuman ke atas-Mu, Sesungguhnya tidak menjadi hina sesiapa yang Dikau menjadi walinya, maha berkat Dikau tuhan kami dan maha tinggi.” (Riwayat Abu Daud 1425, al-Tirmizi 464, al-Nasaie 3/248, Ibn Majah 1178. Kata al-Tirmizi: “Hasan, tidak kami ketahui melainkan dari bentuk ini.” Kata Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid 2/285: “Ia diriwayatkan dari jalan-jalan yang sabit. Isnadnya telah dinilai sahih oleh al-Nawawi di dalam al-Khulasah.” Kata Ibn al-Mulaqqin di dalam Khulasah al-Badr al-Munir 1/128: “Isnadnya berdasarkan syarat al-Sahih.” Kata Ibn Hajar di dalam Nata-ij al-Afkar 2/147: “Hasan Sahih.” Kata al-Sakhawi di dalam al-Qaul al-Badi’ 261: “Sanadnya Sahih atau Hasan.” Ahmad Syakir di dalam Tahkik beliau kepada al-Muhalla 4/147demikian juga al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud 1425 menilai hadis ini sebagai Sahih)

  1. Terdapat sebagian ulama yang berpandangan tiada Qunut dalam solat Witir kerana di sisi mereka hadis tentangnya tidak sahih.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH:

وأما قنوت الوتر فللعلماء فيه ثلاثة أقوال: قيل: لا يستحب بحال، لأنه لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قنت في الوتر.وقيل: بل يستحب في جميع السنة، كما ينقل عن ابن مسعود وغيره، ولأن في السنن أن النبي صلى الله عليه وسلم علم الحسن بن علي ـ رضي الله عنهما ـ دعاء يدعو به في قنوت الوتر. وقيل: بل يقنت في النصف الأخير من رمضان، كما كان أبي بن كعب يفعل.

Maksudnya: “Adapun Qunut Witir terdapat tiga pandangan ulama. Ada yang berpandangan ia tidak disunatkan kerana tidak sabit bukti menunjukkan baginda SAW pernah melakukan Qunut di dalam solat Witir. Ada pula yang berkata ia disunatkan sepanjang tahun sepertimana yang dinukilkan daripada Ibn Mas‘ud dan selainnya. Hal ini sedemikian kerana di dalam kitab Sunan ada meriwayatkan Nabi SAW pernah mengajarkan kepada al-Hasan bin ‘Ali RA doa qunut dalam solat Witir. Ada pula yang berpandangan qunut dilakukan pada separuh bahagian akhir Ramadan sepertimana yang dilakukan oleh Ubai bin Ka‘ab RA.” (Majmu’ al-Fatawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah 22/271, cetakan 1425H/2004M, Mujamma’ al-Malik Fahd, Madinah, Saudi)

Kesimpulan

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH ada membuat kesimpulan yang menarik dalam permasalahan ini. Beliau berkata:

وحقيقة الأمر أن قنوت الوتر من جنس الدعاء السائغ في الصلاة، من شاء فعله، ومن شاء تركه، كما يخير الرجل أن يوتر بثلاث، أو خمس، أو سبع، وكما يخير إذا أوتر بثلاث إن شاء فصل، وإن شاء وصل، وكذلك يخير في دعاء القنوت إن شاء فعله، وإن شاء تركه، وإذا صلى بهم قيام رمضان فإن قنت في جميع الشهر فقد أحسن، وإن قنت في النصف الأخير فقد أحسن، وإن لم يقنت بحال فقد أحسن

Maksudnya lebih kurang: “Hakikat perkara ini bahawa qunut witir adalah dari kumpulan doa yang dibenarkan di dalam solat. Sesiapa yang mahu, dia lakukannya, siapa yang tidak mahu, dia tinggalkannya. Ia sepertimana seseorang diberi pilihan sama ada hendak melakukan witir tiga rakaat atau lima rakaat atau tujuh rakaat. Sama juga sepertimana diberi pilihan, jika mahu melakukan witir tiga rakaat dengan dipisahkan (dengan dua salam), atau jika mahu dengan disambung (tiga rakaat satu salam). Demikianlah juga diberi pilihan berkaitan qunut (witir). Jika seseorang itu mahu, dia lakukan, jika dia tidak mahu, maka dia tinggalkan. Jika seseorang menunaikan solat qiyam Ramadan bersama orang ramai, jika dia memilih untuk melakukan qunut sebulan Ramadan penuh, dia telah melakukan suatu yang baik. Jika dia hanya berqunut pada bahagian kedua Ramadan juga dia telah melakukan sesuatu yang baik. Jika dia tidak berqunut sama sekali juga, ianya suatu kebaikan.” (Majmu’ al-Fatawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah 22/271, cetakan 1425H/2004M, Mujamma’ al-Malik Fahd, Madinah, Saudi)

Cetak
Wallahu a'lam