Bantahan Terhadap Kefahaman Ustaz Riyadh bin Badar Bajri (1)

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Ada soalan dari Ummu Nurain yang kongsikan bersama dengan kita satu link ceramah dari salah seorang ustaz dari Indonesia. Berikutnya Ummu Nurain bertanya di sini: “Cara para sahabat menangani wabak. Mereka menganggap wabak ini rahmat kepada mereka tetapi kita sebaliknya, kita declare perang lagi. Fikir-fikirkan.”

Perkara ini saya rasakan Ummu Nurain kongsikan status sebahagian orang. Tapi yang penting, declare kita perang dengan covid ni kerana satu anjuran dari kerajaan. Tidak ada apa-apa keaiban dan kesalahan dari anjuran tersebut. kita declare perang covid, maknanya kerajaan memberi motivasi kepada masyarakat supaya bersungguh-sungguh berhadapan dengan covid dan bersungguh-sungguh berusaha agar dapat bebas dari covid.

Berikutnya Ummu Nurain menyebut: “Golongan anti vaksin sebarkan video Ustaz Riyadh bin Badar Bajri Hafizahullah dan kenyataan di atas ini.” Maknanya kenyataan tadi adalah dari golongan antivaksin. Soalannya: “Benarkah kefahaman kontek hadis tersebut begitu? Apa pendapat ustaz tentang video ini? Jika boleh mohon ustaz memberi respond dalam bentuk video youtube supaya mudah untuk dikongsikan.”

Jawapan:

Baik kita dengar dahulu keratan video yang dikongsikan oleh Ummu Nurain. Kemudian saya akan beri pandangan saya berkaitan dengan kenyataan ustaz yang dimaksudkan.

Kenyatakan Ustaz Riyadh bin Badar:

“dalam kesempatan ini kami sampaikan, bahawasanya sungguh bagi orang-orang yang beriman, musibah-musibah yang terjadi adalah bentuk rahmat Allah SWT atas mereka yang dengan itu Allah hapuskan sebahagian dosa mereka, yang dengan itu Allah ringankan tanggungan mereka kelak di akhirat. Demikian pula wabak-wabak yang terjadi apabila memang benar adanya. Itu adalah bentuk rahmat Allah SWT kepada orang-orang yang beriman. Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis riwayat Anas bin Malik RA:

الطعون شهادة لأمتي

Maksudnya: “Taun adalah bentuk syahid bagi ummatku.” Atau penyakit mewabak apapun, kiaskan adalah adalah bentuk syahid bagi umatku. Maka ini rahmat dari Allah SWT dan kemuliaan. Penyakit wabak apapun adalah bentuk rahmat Allah. Namun bagi orang-orang kafir itu adalah bentuk hukuman dari Allah SWT. dan juga diriwayatkan daripada ummul mukminin ‘Aisyah RA oleh al-Imam al-Bukhari bahawasanya Ummul mukminin ‘Aisyah RA

سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الطعون

Suatu hari Ummul mukminin bertanya kepada Rasulullah SAW tentang taun atau tentang penyakit mewabak apapun….”

 

Komen dari Ustaz Bin Sahak:   

Baik, pertama sekali tentang kenyataan ustaz ini berkaitan taun merupakan satu kelebihan dan satu rahmat dari Allah SWTو tidak menimpa umat ini dengan taun melainkan dia akan memperolehi pahala syahid. Kita tak nafikan hadis tersebut. hadis yang sahih dari Nabi SAW.  Akan tetapi hadis tersebut tidak boleh dibaca sendirian. Kefahaman yang hendak diambil dari hadis tersebut mestilah dibaca bersama dengan hadis-hadis yang lain. Di mana banyak lagi hadis-hadis lain yang menunjukkan bahawasanya ada kelebihan kepada seseorang muslim apabila dia ditimpa musibah. Di dalam hadis antaranya Nabi SAW telah menyebut:

“Tidak menimpa seseorang hamba sama sekali sama ada هم، ولا حزن ولا نصب.. yang bermaksud:

"Tidak menimpa seorang muslim sama sekali, sama ada kebimbangan, rasa bimbang, kepenatan, keletihan dan seumpamanya, melainkan semua itu akan menghapuskan dosa-dosanya. Bahkan satu duri yang mencucuk kaki seorang muslim akan menghapuskan dosa dia.”

Tetapi hadis ini bukanlah bermaksud, kita disuruh mencari duri untuk kita pijak. Hadis tersebut bukan juga bermaksud kita disuruh mencari-cari kesedihan dan kebimbangan. Hadis juga tidak memaksudkan kita disuruh mencari-cari kepenatan, tidak! Hadis tidak memaksudkan sedemikian. Buktinya terdapat pula hadis-hadis lain yang menunjukkan Nabi SAW suruh kita memohon perlindungan antaranya daripada kebimbangan dan kesedihan. Seperti doa yang nabi ajar dengan kita mengucapkan:

اللهم إنى أعوذبك من الهم والحزن

Yang bermaksud: “Ya Allah, daku berlindung kepadaMu dari kebimbangan dan kesedihan.”

Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda: تداووا “berubatlah kamu semua”.

Kerana itu kita dapati doa-doa Nabi mengajar kita memohon kesejahteraan dan keselamatan dan dijauhkan dari sebarang keburukan, sekalipun tidak menimpa satu keburukan ke atas orang Islam melainkan ia merupakan rahmat dari Allah, menghapuskan dosa dan dapat pahala, dengan syarat bersabar. Tetapi Nabi tak suruh kita cari kesusahan, nabi tak suruh kita cari musibah, untuk dapatkan rahmat dan keampunan tersebut.

Sama juga hadis-hadis berkaitan dengan taun. Sebab itu saya katakan hadis berkaitan dengan taun perlu difahami sebaik mungkin dan kefahaman yang baik itu diperolehi dengan kita melihat hadis secara keseluruhan, hadis berkaitan dengan penyakit, anjuran menjaga kesihatan secara keseluruhan. Bukan dan jangan ambil hadis tentang taun sahaja. Kalau kita tak mahu jaga diri berdepan dengan wabak covid yang melanda hari ini, lalu dibaca hadis-hadis tentang jangan lari dari taun. Jika demikian cara kita berinteraksi dengan hadis-hadis Nabi, bagaimana kita nak faham ayat al-Quran yang Allah taala kata:

ولا تلقوا بأيديكم إلى التهلكة

“Dan jangan mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” Bagaimana? Kerana itu kefahaman hadis-hadis taun perlu difahami sebaik mungkin dan memahaminya mesti dengan panduan hadis-hadis yang lain.

Kita sambung ceramah dari Ustaz Riyadh bin Badar:

كان عذابا يبعثهم الله على من يشاء jadinya wabak penyakit demikian adalah bentuk azab ALlah yang Allah turunkan kepada siapapun yang dikehendaki oleh Allah di antara makhluknya. فجعله الله رحمة للمؤمنين namun Allah jadikan penyakit mewabak demikian sebagai bentuk rahmatnya kepada orang-orang yang beriman. فليس من عبد يقع الطعون عليه  maka tidak ada seorang hamba yang terkena penyakit mewabak demikian, فيمكث في بلده صابرا  kemudian dia bersabar, bertahan di negerinya seperti anjuran Rasul SAW: “jangan kamu keluar dari negeri wabak. Yang di luar jangan masuk ke dalam. Maka barang siapa yang terkena wabak ini, lalu dia bersabar berada di dalam negerinya, bertahan يعلم أنه لن يصب إلا ما كتبه الله  dan dia meyakini bahawa tidaklah menimpanya kecuali apa yang telah ditakdirkan ke atasnya إلا كان له مثل أجر شهيد  kecuali pasti bagi hamba tersebut pahala sebesar pahala seorang syahid.” Apakah lagi yang engkau kehendaki dalam kehidupanmu? Bentuk kematian yang apa lagi yang lebih mulia dari mati syahid di jalan Allah. Kemudian, Rasulullah SAW dalam riwayat lain berkata: الطعون شهادة لأمتي  “taun atau penyakit mewabak apapun adalah bentuk kesyahidan bagi umatku من مات فيه مات شهيدا  barangsiapa yang mati terkena wabak tersebut dia mati dalam keadaan syahid. ومن أقام فيه كان كالمرابط في سبيل الله  dan barangsiapa yang bersabar berada di negeri itu, tidak keluar, dia mendapatkan pahala seorang yang berjihad di jalan Allah, bertahan diperbatasan, di mana dia menghadapi musuh-musuh kafir, melindungi musuh-musuh yang di belakang, مرابط di jalan Allah ومن فر منه  dan barangsiapa yang lari كان كالفار من الزحف maka mendapatkan dosa sebagaimana dia yang lari dari medan perang, ia adalah dosa besar yang menjadi موبقات menghapuskan amal soleh, menghapuskan pahala.”

 

Komen Ustaz Bin Sahak:

Baik, sebenarnya pada hadis yang dibaca tadi memiliki maksud yang penting untuk kita beri penekanan. Iaitulah Nabi SAW menyatakan:

“Sesiapa yang ada pada satu kampung, satu tempat yang ditimpa wabak taun, maka jangan dia keluar dari kampung tersebut. Sesiapa yang berada di luar jangan masuk ke dalam kampung tersebut.”

Sebenarnya dalam hadis ini memiliki pengajaran yang penting buat kita semua. Iaitulah perintah Nabi SAW supaya jangan biarkan atau agar berusaha untuk menghentikan wabak, menghentikan penularan penyakit. Kemudian tentang siapa yang terkena taun itu dapat syahid, memang kita tidak menafikan. Tetapi kita tidak boleh bercita-cita untuk kena taun. Hadis itu berkaitan orang yang telah terkena taun atau orang yang berada di tempat yang berlaku penularan taun.

Pada zaman dahulu pula tidak ada kajian berkaitan dengan kenal-pasti tabiat virus, kenal-pasti tabiat wabak, tak ada, tak ada kajian itu. Jadi bila dah berlaku sesuatu wabak seperti taun, tidak ada cara yang boleh dibuat melainkan dengan cara yang nabi anjurkan, iaitulah yang berada di dalam kampung jangan keluar, yang berada di luar jangan masuk. Apa tujuan dia? Untuk manfaat, untuk keselamatan orang lain, untuk keselamatan masyarakat, untuk keselamatan manusia. Kerana itu nabi ajar tindakan sedemikian. Nabi tak suruh masuklah beramai-ramai ke kampung yang berlaku wabak supaya dapat mati syahid seperti yang difahami oleh ustaz Indonesia itu.

Zaman kita adalah zaman yang ada kajian, sehingga dapat dikenal pasti tabiat virus. Lalu kita dapat memahami cara pembiakan, lalu kita elak diri, kita lakukan usaha supaya penularan itu diminimum dan diberhentikan. Maka dia sama dengan tujuan yang ada dalam hadis, Nabi suruh orang yang berada di dalam jangan keluar dan yang berada di luar jangan masuk. Masalah di sini, apabila sebahagian orang suka faham hadis secara literal. Ini masalah. Mereka tidak mengambil maksud yang dikehendaki oleh Nabi di dalam hadis tersebut. Maksud yang dikehendaki adalah menyekat penularan dan memastikan kesejahteraan dan keselamatan untuk masyarakat umum. Itu sebenarnya kehendak yang ada di dalam hadis. Jadi point itu yang sebenarnya, yang sebahagian orang salah faham.

Kita dengar berikutnya huraian dalam ceramah ustaz Indonesia tersebut:

“Demikianlah sebagaimana juga terjadi pada zaman salafus soleh. Wabak tersebut di kota Syam. Yang dengan sebabnya sebanyak 25,000 jiwa orang-orang yang beriman, 25,000 jiwa mati dari sebab wabak taun yang terjadi di sana. Bagi para sahabat RA yang berada di luar kota Syam, sebagaimana ‘Umar bin al-Khattab bersama para sahabat yang lain, mereka tidak memasuki kota Syam, mereka kembali dari Syam kerana ada ajaran Rasul SAW, anjuran rasul.”

 

Komen Ustaz Bin Sahak:

Ini yang saya maksudkan tadi. Anjuran dari Nabi supaya siapa yang berada di dalam kota atau tempat yang berlaku wabak taun supaya jangan keluar. Kerana apa nabi tak bagi? Jawapannya kerana nabi tidak mahu berlaku penularan wabak taun. Saya ingat isyarat hadis begitu jelas dalam perkara ini. Demikian juga nabi larang orang yang berada di luar masuk ke dalam kampung yang ada taun, tempat yang ada taun. Kenapa? Iaitulah kerana nabi suruh kita selamatkan diri. Bukankah ini adalah usaha memerangi taun? Memerangi dalam ertikata mengalahkan taun. Walaupun Nabi tak sebut perkataan memerangi, tetapi maksudnya ada. Iaitulah supaya memberhentikan penularan wabak taun dan perkara ini sebenarnya jelas supaya kita berusaha memperolehi kebaikan dan bebas dari wabak.

------------------------------

sambungan bantahan kedua


Cetak  
Wallahu a'lam