Bantahan Terhadap Kefahaman Ustaz Riyadh bin Badar Bajri (2)

Bantahan siri (1) 

Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh.

Kita sambung semula komentar saya terhadap ceramah yang dikongsikan oleh Ummu Nurain. Jadi kita dengar separuh lagi ceramah yang disampaikan oleh ustaz pendakwah dari Indonesia dan saya akan beri sedikit komentar saya terhadap ceramahnya tersebut:

Beliau berkata: 

“beribu-ribu jiwa mati dari wabak taun, wabak yang terjadi di sana. Bagi para sahabat RA yang berada di luar kota Sham, sebagaimana ‘Umar bin al-Khattab bersama para sahabat yang lain, mereka tidak memasuki kota Sham, mereka kembali, kerana ajaran Rasul SAW, anjuran Rasul agar yang di luar janganlah masuk ke dalam dan yang di dalam agar bersabar janganlah keluar. Demikianlah yang dicontohkan oleh salaf RA. Mu‘az bin Jabal berada di Sham. Ketika dia mendengar khabar taun mengenai negara Sham. Hal yang pertama yang dilakukan Mu’az adalah dia mengangkat tangan: اللهم لا تجعل حظ آل معاذ من هذا معاذا Janganlah Kau jadikan jadah keluarga Muaz terlindung dari hal ini.” Lihat, dia meminta hal tersebut, kerana apa? Kerana Rasul berkata ini rahmat, ini syahid bagi mereka yang di dalam. Muaz juga berkata اللهم أعط حظ آل معاذ الأوفر Ya Allah berilah jadah paling besar kepada keluarga Muaz RA.” Maka terkena dua puterinya mati dari taun tersebut. Dia menguburnya. Terkena kedua-kedua isterinya, dia menguburnya. Kemudian terkena anaknya Abdul Rahman, anak yang dicintainya. Suatu hari ia menjenguk anaknya dan berkata: كيف تجد bagaimana kondusimu?” Maka anaknya pun menjawab dengan jawapan yang diberikan Nabi Ismail kepada Nabi Ibrahim  ستجدني إن شاء الله من الصابرين insya-Allah engkau akan menemukanku dalam kondusi bersabar.” Muazpun berpesan kepada anaknya الحق من ربك فلا تكن من الممترين sungguh yang hak hanya dari tuhanmu, jangan pernah sekali-kali engkau ragu.” Kemudian matilah Abdul Rahman. Mulailah Muaz terkena wabak di tangan.”

 

Komentar Ustaz Bin Sahak:

Baik, itu sebahagian ataupun saya ingat potongan terakhir saya dengarkan kepada tuan-tuan untuk saya memberi komentar.

Riwayat tentang Muaz bin Jabal RA yang dikatakan berdoa supaya dikenakan penyakit wabak taun kepada beliau dan kepada ahli keluarga beliau, ada beberapa perkara yang saya nak komen.

Pertamanya saya nak nyatakan bahawa, hadis ataupun riwayat tentang Muaz bin Jabal meminta atau berdoa kepada Allah supaya dikenakan wabak taun kepada beliau dan anak-anak beliau itu, para ulama berbeza pandangan tentang status riwayat tersebut. al-Syeikh Ahmad Syakir, demikian juga al-Syeikh Syu’ab al-Arnaouth ketika mereka melakukan tahkik terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam Musnad al-Imam Ahmad, kerana riwayat Muaz berdoa kepada Allah supaya dikenakan taun kepada beliau dan kepada ahli keluarga beliau ada diriwayatkan di dalam Musnad al-Imam Ahmad. Lalu al-Syeikh Ahmad Syakir, demikian juga al-Syeikh Syuaib al-Arnaouth menilai riwayat itu sebagai riwayat yang dhaief

Kedua, katakanlah kita ambil riwayat itu dan kita anggap ia sahih. Saya nyatakan riwayat itu tidak boleh bersendirian. Untuk memahami betul-betul riwayat tersebut perlu dibaca, perlu dilihat, perlu direnung juga dalil-dalil lain terutamanya yang ada tegahan dari Nabi SAW dari memohon keburukan untuk diri dan ahli keluarga. Antaranya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, di mana Nabi SAW bersabda:

لا تدعوا على أنفسكم ولا تدعوا على أولادكم ولا تدعوا على أموالكم ولا توافقوا من الله ساعة يسأل فيها عطاء فيستجيب لكم  

Perlu diberi perhatian pada riwayat ini, bahawa ia adalah hadis Nabi. Riwayat doa Muaz tadi itu perbuatan Muaz, yang mana perbuatan Muaz itu sendiri ulama berbeza pandangan sebahagian kata thabit, sebahagian lain kata dhaief seperti Ahmad Syakir dan Syu’aib al-Arnaouth yang menilainya sebagai dhaief. Ia perbuatan sahabat.

Sekarang ini, yang saya baca adalah perkataan Nabi SAW yang telah dinyatakan sebagai Sahih oleh Imam Muslim di dalam Sahih beliau, yang bermaksud:

“Jangan kamu semua meminta keburukan untuk diri kamu dan jangan meminta keburukan untuk anak-anak kamu, jangan juga kamu meminta keburukan untuk harta kamu. Tidak bertepatan permintaan seseorang dengan sesuatu waktu yang dimustajabkan oleh Allah permintaan di dalamnya, melainkan akan dimustajabkan untuk kamu apa yang kamu minta sekalipun keburukan.”

Ini hadis yang diriwatakan oleh Imam Muslim. Nabi larang kita meminta keburukan untuk diri, untuk anak dan untuk harta kita. Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim juga, Nabi SAW bersabda:

لا تدعوا على أنفسكم إلا بالخير، فإن الملائكة يأمنون على ما تقولون

“Jangan kamu semua meminta keburukan untuk diri kamu, melainkan kebaikan sahaja.” “Jangan berdoa untuk diri kamu melainkan minta yang baik sahaja, kerana sesungguhnya malaikat akan mengaminkan apa yang kamu minta.”

Jadi, keadaan ini menuntut riwayat doa Muaz tersebut perlu diserasikan dengan hadis-hadis ini. Kerana itu kita akan tengak para ulama ketika menyebut tentang riwayat Muaz, jika kita terima riwayat itu sebagai sahih. Kata para ulama, antaranya yang sempat saya semak di sini iaitulah perkataan Ibn Rajab, ketika beliau menerangkan tentang kategori-kategori angan-angan untuk mati ataupun bercita-cita dimatikan.

Sebelum itu kita juga kena tahu, sabit di dalam hadis, nabi tegah kita bercita-cita mati. Dalam hadis Nabi kata:

لا يتمنين أحدكم الموت لضر نزل به

“Jangan seseorang daripada kamu bercita-cita untuk mati disebabkan sesuatu kemudharatan yang menimpanya.” Hadis ini saya ingat ramai di kalangan kita yang sedia maklum. Nabi kata jika dia tak tahan juga, maka dia berdoalah dengan menyebut:

اللهم أحيني ما كانت الحياة خيرا لي، وتوفني إذا كانت الوفاة خيرا لي

“Ya Allah hidupkanlah daku jika hidup itu lebih baik untuk aku dan matikanlah aku jika mati itu lebih baik untuk aku.”

Hadis ini thabit, Nabi tegah kita bercita-cita atau berangan untuk mati disebabkan mudharat yang berlaku kepada kita.

Kemudian kita tengak perkataan Ibn Rajab, ketika  Ibn Rejab jelaskan kategori-kategori bercita-cita mati, ada sebahagian ditegah, sebahagian lain dibenarkan. Lalu kata Ibn Rajab, antara yang dibenarkan itu تمني الموت حين حضور أسباب الشهادة iaitulah bercita-cita mati ketika hadir sebab memperolehi syahadah iaitulah memperolehi mati syahid. Ini salah satu situasi kita dibenarkan mengharapkan mati. Dan kita kena tahu, memperolehi mati syahid antaranya dalam medan peperangan.

Saya hendak tegaskan bahawa sebenarnya kedudukan Muaz, kedudukan doa Muaz bin Jabal yang dibaca oleh Ustaz Indonesia tadi adalah sama dengan kedudukan seorang tentera Islam yang berada di medan perang jihad fi sabilillah, situasinya sama. Kita tengak perkataan Ibn Rajab, beliau kata, antara cita-cita mati, angan-angan untuk mendapat syahadah apabila datang sebab-sebab boleh mendapat mati syahid. Kemudian kata Ibn Rajab فيجوز ذلك أيضا. “Maka harus demikian itu.” iaitulah ketika situasi ini diharuskan bercita-cita mati untuk dapat kelebihan syahid. Maka pada ketika kita dapat peluang untuk memperolehi mati syahid, kita diharuskan untuk bercita-cita mati. Hal ini adalah kerana, bagi orang yang berada di medan jihad peperangan, dia tak boleh lagi berpatah balik, tak boleh lari dari medan peperangan. Lari dari medan peperangan termasuk di dalam dosa besar. Jadi tidak ada pilihan. Sama ada dia gugur syahid ataupun dia dapat kemenangan. Dalam situasi ini dua sahaja, menang atau mati. Maka dibolehkan kepada seseorang yang berada dalam situasi ini berzita-cita mati untuk memperolehi syahadah atau mati syahid. Inilah maksudnya.

Maka demikianlah kedudukan Muaz bin Jabal. Beliau berada dalam situasi sama ada mati disebabkan taun atau selamat dari taun. Itu sahaja pilihan yang ada. Maka Muaz pilih untuk mati syahid bukan selamat dari taun. Kerana di zaman itu bila berlaku taun, tak ada jalan lain yang boleh keluar melainkan kita jangan keluar dari negeri yang dilanta taun. Manakala orang luar jangan masuk.

Seperti yang saya sebut pada jawapan sebelum ini. Di zaman itu tak ada kajian yang dilakukan seperti yang ada pada hari ini. Tetapi usaha dan perintah Nabi, ajaran dari nabi supaya menghentikan wabak itu ada. Kerana Nabi SAW melarang orang yang berada di dalam negeri yang dilanda taun keluar, dan orang yang dari luar masuk. Perkara ini Nabi larang. Menunjukkan ada usaha untuk mengurangkan penularan taun supaya jangan terus merebak dan memberhentikannya terus. Perkara ini yang perlu difahami betul-betul.

Jadi, Muaz ketika dia berdoa tersebut, dia berada dalam situasi seperti berada dalam peperangan. Dia tidak ada pilihan lain, dia tak boleh keluar. Jadi pada ketika itu dia memilih untuk memperolehi syahadah bukan untuk selamat dari taun dan juga memohon supaya keluarga dia dikenakan ataupun memperolehi syahadah juga. Disebabkan mereka tidak ada pilihan untuk lari dari wabak ketika itu. Ia berbeza di zaman kita hari ini.

Mereka yang antivaksin, mendatangkan musibah kepada orang lain. Sebenarnya kefahaman mereka bertentang dengan maksud riwayat Muaz bin Jabal, jika kita terima riwayat itu sebagai sahih. Kefahaman mereka ini salah sama sekali dan ia berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh Muaz bin Jabal.

Selain daripada itu kita kena faham juga. Para ulama menyatakan tindakan Muaz bin Jabal adalah ketika tiada ada jalan keluar. Yang ada hanyalah sama ada mati syahid ataupun selamat dari wabak. Maka Muaz memohon untuk mendapat syahid. Kata Ibn Rajab فيجوز ذلك أيضا maknanya perkara itu iaitulah memilih untuk mati dalam situasi begitu diharuskan dan dibenarkan. Ia bukan satu perkara yang dianjurkan.

Apatah lagi dalam suasana masyarakat hari ini untuk kita paksa mereka, sehingga seolah-olah siapa yang tak nak mati kerana virus ini seolah-olah cacat agama dia. Siapa yang memerangi virus ini tanda lemah imannya? Kefahaman ini adalah salah. Gambaran yang diberikan oleh penceramah Indonesia itu adalah salah, demikian juga sebahagian penceramah lain hasil dari tindakan gopoh dan tidak mahu berusaha memahami gambaran sebenar isu ketika berinteraksi dengan hadis-hadis, riwayat-riwayat, kisah-kisah yang berkaitan dengan wabak.  

Kita juga kena tahu, dan ambil perhatian, wabak ‘Amawas yang berlaku itu, tindakan Abdullah bin ‘Amr ataupun ‘Amr bin al-‘Ash, sepatutnya diberi penekatan dan diambil perhatian. Beliau juga seorang sahabat Nabi SAW dan beliau berjaya menghentikan terus penularan wabak. Tetapi peliknya kenapa golongan antivaksin hanya fokuskan pendirian Muaz? dan menyembunyikan pendirian ‘Amr bin al-‘Ash yang memanggil semua orang Islam yang masih belum terkena wabak taun untuk melakukan kuarantin. Manakala yang telah terkena taun, beliau arahkan naik ke bukit supaya bersendirian dan bersama mereka yang telah terkena taun dan semua mereka gugur syahid kesemuanya di atas bukit. Manakala mereka yang masih belum terkena taun tinggal berasingan dari orang-orang yang kena taun. Akhirnya wabak taun berjaya dihentikan penularannya di bawah pentadbiran ‘Amr bin al-‘Ash setelah Muaz gugur syahid. ‘Amr bin al-‘Ash menggantikan kepimpinan Muaz setelah beliau gugur disebabkan taun. Jika tak salah saya beliau iaitulah ‘Amr bin al-‘Ash yang menggantikan Muaz dan beliau berjaya menghentikan penularan wabak dalam kisah taun ‘Amawas tersebut.

Saya ingat sekadar ini sahaja. Cuma saya hendak bagitahu bahawa saya secara peribadi tidak setuju dengan keratan video ceramah 10 minit ustaz Indonesia terbabit. Pada saya dia tidak memberi gambaran yang sebenarnya dan menyeluruh berdasarkan sunnah Nabi SAW.   


Cetak  
Wallahu a'lam