Kata seorang Salaf RH:
"Dahulu aku menyangka bahawa seorang hambalah yang terlebih dahulu perlu mencintai Allah, lalu Allah mencintainya. Sehinggalah aku membaca firman Allah:
فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ
Maksudnya: "...nanti ALLAH akan datangkan satu kaum, ALLAH mencintai mereka, mereka pula mencintai Allah..." (alMaidah 54) Barulah aku ketahui bahawa yang mula-mula mencintai adalah ALLAH.
Dahulu aku menyangka bahawa seseorang hambalah yang perlu bertaubat terlebih dahulu kepada Allah, agar Allah memberi taubat kepadanya. Sehinggalah aku membaca firman Allah:
ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ليتوبوا
Maksudnya: "...Kemudian Allah memberi Taubat kepada mereka (memberi taufiq kepada taubat) agar mereka mahu bertaubat.." (alTaubah 118) Barulah aku tahu bahawa ALLAH lah yang memberi ilham kepada kamu sehingga kamu dapat bertaubat (kepada-NYA).
Dahulu juga aku menyangka bahawa seorang hambalah yang perlu redha kepada ALLAH terlebih dahulu, kemudian barulah ALLAH akan redha kepadanya. Sehinggalah aku membaca firman ALLAH:
رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ
Maksudnya: "...ALLAH meredhai mereka dan mereka redha kepada ALLAH..." ( alBayyinah)
"Wahai TUHAN, cintailah kami, berilah taufiq untuk kami bertaubat kepadaMU, redailah kami, bantulah kami untuk mengingatiMU, mensyukuri nikmatMU, baik ibadah kepadaMU dan kurniakanlah kekuatan untuk mentaatiMU."