Dailog Hadis Thauban Tentang Lafaz Istighfar Selepas Solat

Assalamu'alaikum al-Fadhil Ust. binsahak yang saya hormati. Jazakallahu khairan katsiran kerana sudi membaca buku terbaru saya itu dan memberi komentar.

Ia amat saya hargai.

Tentang lafaz zikir "Astaghfirullah" selepas solat,

Sefaham saya perawi hadis tidak semata-mata meriwayatkan lafaz hadis, tetapi mereka juga memahami dan mengetahui cara mempraktikkan hadis itu.

Jika mereka tidak tahu mereka akan bertanya, sebagaimana al-Walid bin Muslim yang bertanya kepada al-Auza'e tentang bagaimanakah lafaz istighfar itu.

Oleh itu jawapan al-Auza'e bukanlah pandangan peribadi beliau akan tetapi merupakan apa yang beliau ketahui daripada praktik Rasulullah s.a.w. Sebab itulah beliau menjawab secara pasti.

Seandainya al-Auza'e hanya memberikan pandangan peribadi, beliau - sebagai seorang perawi yang thiqah lagi amanah - tentu akan mengisyaratkan bahawa ia semata-mata pandangan peribadinya. Misalnya dengan berkata, "Aku berpendapat engkau ucapkanlah...." atau "Aku mengira ucapan itu adalah...".

Selain itu sedia diketahui generasi Salaf amat bersungguh-sungguh lagi bermotivasi dalam beribadah, sehingga seandainya tiada lafaz yang pasti daripada Rasulullah, maka tentu al-Auza'e akan mengesyorkan lafaz istighfar yang lebih panjang.

Sekali lagi saya ucapkan jazakallahu khairan katsiran atas komentar ustaz. Saya juga look forward untuk mengkaji buku ustaz yang bakal terbit, "Merungkai Persoalan-Persoalan Zikir Selepas Solat". Moga saya dapat  banyak ilmu baharu di sana dan dapat mengulang semak apa yang saya tulis dalam buku saya ini.

Jawapan binSahak:

Wa'alaikumussalam warahmatullah Akhi…Di bawah ini komen saya:

1. Pertanyaan alWalid kepada alAuza'ie adalah bukti tiada lafaz istighfar tertentu yang pasti dari Nabi SAW seperti yang saya nukilkan perkataan alMubarakfuri di dalam jawapan saya tersebut (klik di sini untuk membaca jawapan). Kerana jika ada lafaz istighfar yang warid dan khusus selepas solat, tentu tidak perlu kepada soalan, kerana semestinya lafaz tersebut sedia dimaklumi dan diamalkan oleh para ulama termasuk al-Walid.

Selain itu, riwayat Muslim jelas menunjukkan soalan al-Walid ditujukan kepada alAuza'ie dan jawapan أستغفر الله tiga kali itu adalah jawapan dari al-Auza'ie bukan dari Nabi SAW. al-Auza'ie pula tidak sandarkan lafaz istighfar tersebut kepada Nabi SAW.

Tidak menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW ketika periwayatan telah memadai sebagai petunjuk awal ia bukan dari Nabi. Apatah lagi wujud pemisah (الفصل) dengan ungkapan: قلت (aku berkata kepada alAuza'ie) atau قيل للأوزاعي (dikata kepada alAuza'ie) atau سئل الأوزاعي (ditanya kepada alAuza'ie) yang jelas menunjukkan jawapan itu jawapan alAuza'ie, bukan lafaz hadis.

2. Tidak timbul isu amanah dan thiqah alAuza'ie dalam riwayat ini, kerana kejelasan siyaq riwayat menunjukkan ia bukan lafaz dari Nabi SAW.

Kerana itu, tidak diperlukan lagi lafaz-lafaz seperti: "aku berpandangan...", "aku mengira..." dan seumpamanya.

Selain itu mungkin juga boleh dikatakan majlis yang berlangsung dailog tersebut adalah majlis periwayatan bukan majlis fiqh atau menyampaikan hukum. Ini kerana tujuan utama majlis periwayatan hadis yang meriwayatkan hadis bukan mengeluarkan hukum. Kerana itu kita dapati ulama hadis tetap meriwayatkan hadis, sekalipun hadis tersebut telah mansukh hukumnya. Hal ini dipraktikkan hatta di dalam kitab-kitrab hadis.


Cetak  
Wallahu a'lam