Lagi kes Mahkamah Syariah. Bahana ipar duai tinggal sebumbung.
Dapat panggilan seorang suami bertanyakan hukum Li'an di Mahkamah Syariah (suami hendak menafikan anak yang dikandung isteri sebagai darah dagingnya).Isteri baru sahaja bersalin 12 hari, dan hari ini buat pengakuan ini bukan anak suami, tapi anak adik kandung suami (adik ipar). Si suami minta penjelasan si adik tentang apa yang berlaku, si adik pun mengaku memang kerap lakukan hubungan atas dasar suka sama suka.Kelahiran pertama cahaya mata mereka, tempoh perkahwinan baru mencapai usia setahun lebih. Sepatutnya dalam tempoh ni masing-masing sedang seronok layan baby.Kisahnya mereka ipar duai kedua-duanya sudah berumahtangga dan atas persetujuan bersama untuk kurangkan kos sewa rumah, mereka berempat tinggal sebumbung dalam satu rumah dua tingkat di Selangor. Disebabkan PKP, suami lama terkandas di Perak tak boleh rentas negeri. Maka tinggallah isteri dengan ipar dan biras bertiga.Entah bila dan bagaimana, isteri hari ini mengaku sudah beberapa kali terlanjur dengan adik ipar sendiri semasa ketiadaan suami dan biras. Sehinggalah apabila diketahui dia mengandung, beriya-riya dia minta suami rentas negeri untuk cover line (kehamilan).Apabila anak lahir, isteri sedar sifat dan raut wajah anak memang ikut muka adik ipar. Tak sanggup lagi menipu suami dan menyesal dengan dosa tersebut, dia akhirnya buat pengakuan bahawa anak yang baru lahir bukan benih hasil perkahwinan dengan suami.Separuh gila si suami, berada di Perak dan dimaklumkan isteri dengan berita ‘malang' sebegini. Buntu, hendak buat penafian nasab yang tidak pernah sedikitpun dia ragui di samping kesan Li'an itu sendiri terlalu besar ke atas status perkahwinan mereka nanti.Dia bertanya bagaimana status anak tersebut jika dia setuju tu bukan anak benih dia sendiri? Saya jelaskan Li'an ada tempoh tertentu dan antara pandangan muktabar di sisi mazhab Syafie hendaklah dilakukan ketika anak masih dalam kandungan hingga sejurus sahaja lahir. Kena rujuk Hakim, saya tiada authority.Cuma, ada saya bertanya..“Tuan yakin atau tidak nak li'ankan anak tersebut?", Dia sudah menangis di hujung talian.“Bagi saya tu anak saya, Puan."Aduhai ujian.Sabda Nabi SAW:-إيَّاكُمْ والدخول على النساءِ فقالَ رجلٌ منَ الأنصار يا رسولَ الله أفرأيتَ الْحَمُو قالَ الْحَمُو الموتBermaksud : “Janganlah kamu memasuki tempat para wanita. Maka berkata seorang lelaki dari kaum Ansar: “Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan ipar?", Baginda berkata: “Ipar adalah kematian.”_ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.“Kematian" menurut Imam al-Thobari adalah merujuk kepada sesuatu perkara yang buruk dan tidak disukai, yang mana mereka menyamakan sifat itu dengan berdua-duaannya seorang lelaki dengan isteri saudaranya sendiri. (Kitab Fathul Bari)Wanita, isteri, jagalah maruah dan harga diri sendiri.Kita adalah golongan yang paling ramai mengikut Dajjal. Perbanyakkanlah ilmu agama dan hindari kelalaian. (17:32)Naudzubillah.Mohon jangan tinggalkan komen tidak Syar'ie. Suami beri izin saya kongsi kisah sebagai iktibar. Doakan beliau.------------------------------
Kemaskini terakhir: 20 Mei 2021
Di atas ini status FB Nur Fatihah Azzahra yang dikongsikan kepada saya. Apabila membaca kes yang dikongsikan oleh beliau, di bawah ini catitan dari saya, mudah-mudahan dapat membantu pasangan terbabit dalam menghadapi masalah, atau dapat memberi buah fikiran dari sudut lain kepada Tuan Nur Fatihah Azzahra bagi membantu pelanggannya.
1. Sabit hubungan zina seorang isteri TIDAK SEMESTINYA wajib li'an dan nafi nasab dari suami. Tidak semstinya juga anak tersebut anak hasil zina.
2. Jika kes zina diadukan kepada kita, dan ia baru terjadi, nasihat yang sepatutnya diberikan kepada suami dan isteri terbabit adalah segera melakukan persetubuhan, selagi tidak jelas dan yakin siisteri mengandung hasil dari zina. Anak yang lahir selepas itu adalah anak suami.
3. Jika pasangan suami isteri atau salah seorang daripada mereka mengaku sememangnya ada melakukan hubungan, dalam masa yang sama berlaku perzinaan. Maka tegaskan kepada mereka, anak yang dikandung dan bakal dilahirkan adalah anak suami. TAK PERLU dibuat ujian lain untuk pengesahan anak siapa. Asas perkara ini adalah hadis Nabi SAW: الولد للفراش.
4. Anak yang dilahirkan tidak serupa dengan suami, tak boleh dijadikan asas untuk meragui sianak dari benih suami. Contoh jelas berlaku di zaman Nabi SAW, dalam kes rebutan anak antara Sa'ad bin Abi Waqqas dengan 'Abd bin Zam'ah. Di mana anak yang dilahirkan oleh hamba Zam'ah adalah lebih mirip dengan 'Utbah. Tetapi Nabi SAW memberikan hak kepada Zam'ah. Hal ini kerana anak yang dilahirkan oleh seorang wanita firash, mesti dinasabkan kepada Sahib alFirash, melainkan Sahib alFirash menafikannya.
5. Mana-mana isteri yang terlanjur, jangan segera lakukan pregnancy test untuk pastikan kehamilan. Sebaliknya segeralah bertaubat kepada Allah SWT atas perbuatan hina lagi keji yang anda lakukan. Setelah itu layanilah suami dengan baik dan mesra, tanpa perlu memberi tahu apa yang berlaku kepadanya, lakukan hubungan intim dengannya. Anak yang lahir selepas itu adalah anak anda dengan suami anda.
Tambahan point 6 & 7, point 8 sebagai point sampingan:
6. Siisteri yang terlanjur sepatutnya diberi nasihat dengan betul supaya jangan tergesa-gesa mendesak suami menafikan anak. Isteri yang bersikap sedemikian mungkin sahaja disebabkan rasa bersalah yang menyelubungi dirinya. Inilah peranan orang yang diminta pandangan. Ini kerana isteri tidak memiliki "lampu ajaib" untuk tahu SECARA PASTI anak yang dikandung hasil hubungan dengan suami atau zina.
7. Pihak yang diminta nasihat dalam kes terlanjur zina kena buang cara fikir "nak menghukum". Jangan biarkan tajuk "li'an" dan "qazaf" menguasai fikiran anda. Sebaliknya yang perlu anda fikirkan ialah bagaimana jalan keluar dari masalah yang membelenggu masyarakat. Hal ini memerlukan "pemerhatian berterusan dalam persoalan-persoalan furu' fekah".
8. Baca juga Fatwa: DNA & Ruang Manfaatnya yang telah siap saya terjemahkan di sini: Fatwa: DNA & Ruang Manfaatnya
***baca juga: Hukum Wanita Bersuami Melakukan Perbuatan Keji Berzina