Panduan Umum Untuk Belajar Akidah Dan Tauhid

Panduan umum untuk yang berhasrat menuntut ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Allah. Jika anda berniat hendak mempelajari akidah dan tauhid, carilah pengajian akidah dan tauhid yang dapat membantu anda merasai kebesaran Allah, kedekatan dengan-Nya, merasai amat-amat memerlukannya.

Jangan cari pengajian yang memperkenalkan anda siapa golongan Asya'irah dan ciri-cirinya, muktazilah dan ciri-cirinya, murjiah dan ciri-cirinya, khawarij dan ciri-cirinya dan lain-lain.

Anda tidak akan dapat akidah dan tauhid dalam kelas seperti ini, kerana ia adalah subjek "Firaq" (firqah-firqah atau perpecahan-perpecahan dalam kalangan umat Islam) bukan subjek akidah dan tauhid tulen.

Hasilnya akan berlaku kepada anda apa yg berlaku kepad asebahagian orang yang terkeliru antara subjek firaq yang disangkanya subjek asas akidah. Lalu kuliah mereka melahirkan orang yang nafsunya tertumbu kepada meng"kelas"kan umat Islam ke dalam firqah-firqah yang menyeleweng. Orang itu dari firqah sekian-sekian, orang ini dari firqah sekian-sekian.

Wallahu a'lam

Jemu Dan Bosan Itu Termasuk Dalam Akhlak Buruk

Musa bin 'Ali meriwayatkan daripada bapanya yang pernah mendengar 'Amr bin al-Ash berkata: 

لاَ أمَلُّ ثَوْبِي ما وسِعَنِي، ولاَ أمَلُّ زَوْجَتِي ما أحْسَنَتْ عِشْرَتِي، ولاَ أمَلُّ دابَّتِي ما حَمَلَتْنِي، إنَّ المَلاَلَ مِن سَيِّئِ الأخْلاَقِ

maksudnya: "Aku tidak akan jemu dengan bajuku selagi ia boleh dipakai, aku tidak akan jemu dengan isteriku selagi dia memperelokkan pergaulannya denganku, aku tidak akan jemu dengan kenderaanku selagi dia dapat membawaku. Sesungguhnya rasa jemu itu adalah termasuk dari akhlak buruk." (Siyar A'lam al-Nubala oleh al-Zahabi 3/567)

Wallahu a'lam

Bersabarlah Seperti Seorang Anak Yang Mengetuk Pintu Hati Ibunya

Kata alFudhail bin 'Iyadh RH:

"Daku belajar bersabar sejak dari kecil. Suatu hari, ketika aku berjalan menuju ke masjid, aku dapati seorang ibu sedang memukul anak lelakinya kemarahan, anak itu menjerit menangis, lalu membuka pintu dan segera berlari keluar. Ibu yang dalam kemarahan segera menutup pintu rumahnya, marah dengan sikap anaknya."

Kata alFudhail: "Ketika pulang dari masjid, aku melihat sianak tadi tertidur di hadapan pintu rumah, setelah letih menangis merayu kepada ibunya agar membuka pintu. Seorang ibu, sudah tentu berasa belas dengan anaknya, dengan segera membuka pintu rumah untuk anaknya."

Menangislah alFudhail sehingga basah janggutnya, seraya berkata:

"Maha Suci Allah, kalaulah seorang hamba mahu bersabar ketika mengetuk pintu kemustajaban dari Allah Yang Maha Mulia Dan Maha Agung, sudah tentu, pasti Allah akan membuka pintu kemustajaban untuknya."

Kata Abu alDarda': "Bersungguh-sungguhlah berdoa, sesungguhnya siapa yang banyak mengetuk pintu, sudah tentu tidak lama lagi pintu itu akan dibuka untuknya." (Musannaf Ibn Abi Syaibah 2/6)

Wallahu a'lam