Nasihat al-Imam al-Jauzi RH untuk isteri

"Sesungguhnya isteri yang baik, apabila mendapati suaminya soleh dan serasi dengannya, dia akan berusaha bersungguh-sungguh memperoleh reda suami dan menghindari perkara yang boleh menyakitinya kerana setiap kali dia menyakiti suami atau menunjukkan hal tidak disukai, ia mengakibatkan jemu suami dipendamkan di dalam hati. Tidak menutup kemungkinan ketika kesempatan tiba, suami akan meninggalkannya atau lebih mengutamakan perempuan lain".

Wallahu a'lam

Hilangkan Kesempitan dan Kesusahan Dengan Bersedekah

Jika kita dilanda sesuatu perkara yang menyempitkan dan menyukarkan, maka bersedekahlah. Allah SWT berfirman:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَاتَّقَىٰ، وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَىٰ

Maksudnya: "Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya), dia pula membenarkan dengan yakin akan balasan baik (dari perbuatannya itu)." (Surah al-Lail Ayat 5-6)

Natijahnya, ialah:

فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَىٰ

Maksudnya: "Maka sesungguhnya Kami akan memudahkannya memperolehi kesenangan/kebaikan." (alLail: 7)

Wallahu a'lam

Semua perkara bermula dari kecil kemudian membesar kecuali musibah

Kata Huzaifah RA: 

إن الله لم يخلق شيئا قط إلا صغيرا ثم يكبر، إلا المصيبة فإنه خلقها كبيرة ثم تصغر.

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menciptakan sesuatu sama-sekali, melainkan semuanya bermula kecil kemudian baru membesar, kecuali musibah, di mana DIA menciptanya bermula besar, seterusnya mengecil." (Bahjah alMajalis 250)

Wallahu a'lam