Doa Yang Mustajab

 اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ وَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، أَمَّا بَعْدُ،

Berdoa merupakan suatu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam surah  Al-Mu’min, ayat 60;

Maksudnya; “Dan tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya aku perkenankan (doa) kamu”.

Allah SWT amat menyukai hambaNya yang rajin berdoa tanpa mengira waktu dan keadaan. Mereka yang istiqamah dalam berdoa secara tidak langsung telah menjadikan dirinya dekat dengan Allah SWT. Antara sebab-sebab doa seseorang itu dikabulkan oleh Allah SWT ialah;

Yang pertama; Apabila seseorang itu berdoa dalam keadaan hatinya tidak lalai dan dengan penuh keyakinan, bahawa doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT. Nabi SAW bersabda:

اُدْعُوا اللَّهَ وَ أَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Ertinya:"Berdoalah kepada Allah dalam keadaan yakin akan dikabulkan, dan ketahuilah bahwa Allah tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai."(Hadis Hasan, Riwayat Attirmizi).

Yang kedua; Doa seseorang akan dikabulkan oleh Allah SWT, apabila hamba itu berdoa pada waktu-waktu yang dimustajabkan doa. Antaranya ialah ketika sepertiga malam. Nabi SAW bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِى فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِى فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِى فَأَغْفِرَ لَهُ

Ertinya:"Tuhan kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah SWT berfirman, “Sesiapa sahaja yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan kabulkan. Sesiapa yang meminta kepadaKu, maka Aku akan berikan. Siapa yang meminta ampunan kepadaKu, maka akan Aku ampuni.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari).

Yang ketiga; Seseorang yang mahu supaya doanya dimakbulkan oleh Allah SWT hendaklah dia menjauhi dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang menjadi penghalang dikabulkan doa. Antara perkara yang menjadi penghalang daripada terkabulnya doa ialah, apabila seseorang itu makan, minum dan memakai pakaian dari sumber yang haram, sepertimana Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Muslim :

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya:" (Nabi SAW) telah menceritakan tentang seorang lelaki, yang telah lama bermusafir, disebabkan jauhnya jarak yang ditempuhnya (maka) rambutnya (mejadi) kusut, masai dan berdebu. Dia mengangkat tangannya ke langit lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Sedangkan makanannya dari (sumber) yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?“.

Untuk itu, janganlah kita berputus asa untuk berdoa kepada Allah SWT. Boleh jadi, dia tidak memberikan sesuatu yang kita minta, tetapi dia memberikan apa yang terbaik dan yang bersesuaian dengan kita. Hal ini kerana dialah yang maha mengetahui apa yang terbaik bagi diri para hambaNya. Berdoalah kepada Allah dengan penuh keyakinan, di mana jua kita berada, sama ada semasa susah mahupun senang. Peliharalah diri kita daripada memperolehi rezeki dari sumber yang haram agar doa kita dikabulkan oleh Allah SWT. Semoga apa yang disampaikan sebentar tadi dapat diamalkan dalam kehidupan kita.

 

Wallahu a'lam

Tangisan Dan Rendah Diri al-Imam al-Qaradhawi

Monday, August 10, 2009

 

 

"Saudara-saudara sekelian, aku ingin nyatakan bahawa, pujian-pujian ini dan sanjungan-sanjungan yang aku dengar (diberikan kepadaku) tidak akan memperdaya ku, dan tidak akan menipuku akan hakikat diri aku yang sebenarnya. Demi Allah aku mengetahui tentang hakikat diri ku sebenarnya, yang lemah, yang lalai dan cuai. Ibn ‘Atoilah al-Sakandari di dalam kitab Hikamnya berkata:

الناس يمدحونك, لما يظنونه فيك, فكن أنت ذما لنفسك لما تستيقنه منها, العاقل لا يترك يقين ما عنده لظن ما عند الناس

“Manusia memuji engkau, terhadap apa yang mereka sangka sesuatu perkara terpuji yang ada pada engkau. Maka jadilah engkau seorang yang menghina diri sendiri, dengan apa yang engkau yakini apa yang ada pada dirimu. Seorang yang berakal sepatutnya tidak meninggalkan (melupakan) suatu yang pasti terhadap dirinya berdasarkan pengetahuannya tentang dirinya sendiri, kerana sangkaan orang lain terhadap dirinya.”

Sangkaan orang ramai tidak akan memperdaya ku, terhadap hakikat diri aku yang aku kenali, demi Allah. Aku juga mengetahu Allah telah menutup (keaibanku) dengan tutupan yang indah, kerana termasuk kurniaan Allah kepada kita, sepertimana yang dinyatakan oleh Abu al-‘Atahiyah (أبو العتاهية):

أحسن الله بنا أن الخطايا لا تفوح, فإذا المستور منا بين ثوبيه فضوح

“Allah telah berlaku baik kepada kita, dengan menjadikan kesalahan-kesalahan kita itu tidak berbau, jika yang tertutup itu berbau, ia satu keaiban.”

Allah tidak menjadikan kesalahan dosa itu berbau, sehingga boleh dihidu oleh orang ramai, sebagai menutup keaiban kita, maka Allah telah menutup (keaiban kita) dengan tutupan yang indah, dan aku berharap Allah akan menutup keaiban kita diakhirat, sepertimana Dia telah menutup keaiban kita di dunia.

Sesungguhnya kemuliaan-kemuliaan ini (yang diberikan kepadaku), pujian-pujian dan anuberah-anugerah , aku bimbang wahai saudara-saudara ku, dia akan menghilangkan pahala ku. Al-Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam sahihnya:

ما من غازية تغزو في سبيل الله فيصيبون الغنيمة إلا تعجلوا ثلثي أجرهم من الآخرة ويبقى لهم الثلث وإن لم يصيبوا غنيمة تم لهم أجرهم

Maksudnya: “Tidak ada kumpulan yang berperang di jalan Allah, kemudian mereka memperolehi al-Ghanimah (harta rampasan perang) di dalam peperangan itu, bererti pahala mereka di akhirat telah disegerakan 2/3nya di dunia, dan tinggallah untuk mereka 1/3 (pahala di akhirat), jika mereka tidak memperolehi harta rampasan perang, pahala (jihad) mereka sempurna diberikan di akhirat.”

Maka aku bimbang wahai saudara-saudara ku, pujian-pujian ini (yang diberikan kepada ku), sanjungan-sanjungan dan ungkapan-ungkapan para sahabat dan pelajar-pelajar ku menghilangkan 2/3 pahala ku, ini (pujian dan sanjungan ini) merupakan ghanimah bagi seorang alim, orang ramai memuji dan memuliakannya, ia merupakan anugerah dan ghanimah kepadanya, ia menghilangkan 2/3 pahala. Maka jika kemuliaan-kemuliaan ini menghilangkan 2/3 daripada pahala ku, maka sesungguhnya aku telah rugi!, apatah lagi jika baki 1/3 yang tinggal itu ada pula kekurangan dan cacat-cela! Maka apakah yang tinggal utk seseorang itu?

Seminar ini adalah untuk para pelajar dan para sahabat. Saudara-saudara menyebut: “al-Imam al-Qaradhawi”, aku demi Allah bukan seorang pemimpin dan bukan pula seorang imam, aku sentiasa merasakan aku seorang pejuang, dan aku seorang pelajar!!! Dan aku akan terus menjadi seorang pelajar. Seorang alim yang sebenarnya, ialah yang sentiasa menjadi seorang pelajar sepanjang hayatnya. Dan aku sentiasa belajar, dan aku sedar bahawasanya banyak perkara yang aku tidak tahu.....
 
Wallahu a'lam

Berpegang teguh dengan sunnah Nabi SAW

Kata Imam alNawawi RH:
 
"Sesungguhnya mesti bagi setiap seorang untuk berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, dan mengikuti perkataan, perbuatan dan pengakuan baginda dalam hukum-hakam, adab-adab dan seluruh ajaran Islam. Demikian berpegang dalam memastikan perkara itu berdasarkan apa-apa yang Sahih dan menjauhi apa-apa yang Dhoief. Jangan terpedaya dengan mereka yang menyalahi sunnah-sunnah yang sahih dan jangan bertaqlid kepada mereka yang bersandarkan kepada hadis-hadis yang dhoief. Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:
 
وما ءاتكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا
 
Maksudnya: "Apa-apa yang dibawakan oleh Rasul untuk kamu semua maka ambillah ia, manakala apa-apa yang ditegahnya maka jauhilah ia." (alHasyr: 7) FirmanNya lagi:
 
قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفرلكم ذنوبكم
 
Maksudnya: "Katakan, jika kamu semua cintakan Allah, maka ikutilah Rasulullah. Nanti Allah akan mencintai kamu semua dan mengampunkan dosa-dosa kamu semua." (alAhzab: 21)
 
Ayat-ayat ini dan yang semakna dengannya berupa dorongan untuk mengikut baginda SAW, dan melarang dari mereka-reka dan mengada-adakan (sesuatu yang baharu). Allah SWT telah mengarahkan kita semua ketika berselisih paham agar kembali merujuk kepada Allah dan Rasul iaitulah kepada alKitab dan alSunnah. Semua ini di dalam sunnah yang telah sahih. Adapun yang tidak sahih, bagaimana ia boleh menjadi sunnah? Dan bagaimana ia boleh dihukum atas Rasulullah telah berkata atau berbuat tanpa ada bukti ke arah itu? Jangan kamu terpedaya dengan ramainya mereka yang bermudah-mudah dalam beramal dan berhujjah dalam hukum-hakam dengan hadis-hadis yang dhoief sekalipun mereka itu para penulis dan para imam dalam fiqh dan selainnya..." (Khulasah alAhkam 59-60)
 
Wallahu a'lam