Jadilah Pendakwah Kepada Allah

Tuesday, August 26, 2008

 

Dakwah kepada Allah merupakan suatu kerja yang amat besar di dalam Islam. Allah SWT menyatakan perkara ini di dalam firmannya:


Maksudnya: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya berbanding orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, sesungguhnya kami terdiri dari kalangan orang-orang yang menyerah diri." (Fussilat : 33) 
 
Ayat ini dalam bentuk Istifham Taqririy, iaitu dalam bentuk pertanyaan yang membawa maksud pengakuan yang tidak ada keraguan padanya. Maka perkataan: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya..." membawa maksud: "Tidak ada yang lebih baik perkataannya..." Ayat ini memperakui bahawa tidak ada perkataan yang lebih baik berbanding orang yang menyeru kepada mentauhidkan ALlah dan mentaatinya, tidak ada perkataan, cara, dan keadaan yang lebih baik berbanding orang yang menyeru kepada Allah dengan mangajarkan kepada orang ramai ilmu yang bermanfaat, memberi galakan kepada mereka supaya berakhlak mulia.
 
Sebahagian ulama menyatakan ayat ini adalah pengkhabaran gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh yang memiliki sifat-sifat yang disebut di dalam ayat.

1. Berdakwah kepada Allah

2. Beramal soleh dengan menunaikan kefardhuan dan menjauhi perkara yang haram

3. Berbangga dengan Islam dan berkata "Sesungguhnya kami dari kalangan orang-orang Islam."

Ayat ini merangkumi setiap orang yang menyeru kepada Allah dengan cara yang disyariatkan, termasuk kerja-kerja menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Selain ini, dakwah juga merupakan kerja Nabi SAW yang disuruh oleh Allah SWTdi dalam firmanNya:

Maksudnya: "Serulah (wahai Muhammad) kepada jalam tuhanmu dengan hikmah dan contoh yang baik dan berdebatlah dengan mereka cara yang paling baik." (al-Nahl : 125)

Firman Allah SWT lagi:

Maksudnya: "Kamulah sebaik-baik umat yang dikeluarkan di kalangan manusia, kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegak kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." (Ali Imran : 110). Di dalam surah Ali Imran Allah SWT menjanjikan kejayaan di dunia dan di akhirat kepada mereka yang berdakwah kepada-Nya:

Maksudnya: "Dan hendaklah ada di kalangan kamu sekumpulan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan merekalah orang-orang yang berjaya." (Ali Imran : 104)
Wallahu a'lam

Jangan Melampau Memuja Seseorang Yang Telah Mati

Jika ada tanda-tanda baik pada seseorang ketika matinya, yang disyariatkan kepada kita ialah melihat apa kebaikan yang dilakukan oleh jenazah agar dapat dicontohi. Sebutan yang dianjurkan ialah menyebut amalan baik simati ketika hidupnya yang dapat dicontohi oleh orang lain yang masih hidup. Jangan terlajak sehingga mencampuri urusan Allah SWT dalam memberi jaminan syurga kepada seseorang. 
 
Jangan terlalu ghairah memuja seseorang yang telah mati sehingga akhirnya kita terjebak membuka aib jenazah. Renunglah sebahagian lafaz doa Nabi SAW:
 
اللهم اغفر لي ما قدَّمتُ، وما أخَّرتُ
 
Maksudnya: "Ya Allah ampunilah daku apa-apa kesalahan yang dahulu dan apa-apa kesalahan yang kemudian (akan datang...)" 
 
Maksud "apa-apa kesalahan yang akan datang" merangkumi kesan dari dosa dan ketaksiran dahulu sehingga ia boleh mendatangkan dosa di kemudian hari, seperti:
 
- seseorang yang menyebarkan fitnah di media sosial. Berita fitnah itu terus tersebar sekalipun dia telah meninggal dunia. Mungkin jenazah terseksa dengan sebaran fitnah tersebut. 
- seseorang yang brgambar dengan berpakaian menjolok mata. Gambarnya itu terus disebarkan dan mendatangkan keburukan kepada orang lain sekalipun setelah dia meninggal dunia. Mungkin jenazah disiksa dengan sebab gambarnya itu. 
- seseorang yang berbudaya dengan budaya dosa. Budayanya itù tersebar dan dicontohi oleh orang lain sekalipun setelah dia meninggal dunia. Jenazah mungkin disiksa dengan sebab budayanya yang docontohi itu. 
 
Berpadalah dalam memuji, sesungguhnya jangan sampai sikap melampaukan kita memberi kesan buruk kepada orang yang kita sayangi yang telah meninggal dunia. Ambillah peringatan dari hadis Nabi SAW: "Sesungguhnya mayat diazab disebabkan ratapan orang yang hidup terhadapnya." Kata sebahagian ulama, mayat itu diazab kerana dia tidak menghalang warisnya dari meratapi kematiannya. 
 
Semoga Allah SWT mencucuri kebaikan untuk semua jenazah umat Islam terutamanya yang meninggal disebabkan Covid19 dan menganugerahkan syahid kepada mereka. 
Wallahu a'lam

Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani

Suatu hari al-Imam Yahya bin Syarf al-Nawawi RH menyampaikan kuliah kepada anak-anak muridnya. Ketika beliau membaca ayat alQuran:

نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ، وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الألِيمُ

Maksudnya: "Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dan bahawa azabKu,  adalah azab yang pedih." (alHijr: 49-50)

Tiba-tiba beliau menangis teresak-esak. Tanya anak muridnya: "Apa yang menyebabkan engkau menangis wahai Imam?"

Jawab Imam alNawawi: "Tidakkah kamu perhatikan rahmatnya Allah, ketika mana Dia menisbahkan rahmat dan maghfirah kepada diri-Nya dgn Dia berfirman:

"Sesungguhnya Aku, 'AKU'lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Manakala Dia tidak menisbahkan azab kepada diriNya, sebaliknya Dia hanya menjadikan azab itu suatu yang dimilikinya sahaja dengan firmanNya:

"Dan bahawasanya azabKu, ia adalah azab yang pedih." Dia tidak berfirman: "Sesungguhnya Aku, Akulah Yang Maha Mengazab (المعذِّب)."

Lalu aku tiba-tiba teringatkan perkataan Ibn 'Abbas RA yang berkata:

إن الله ينزل رحمات يوم القيامة حتى يظن إبليس أن الله سيغفر له

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah akan menurunkan rahmat-Nya pada hari kiamat, sehingga Iblis akan menyangka yang Allah akan memberi keampunan kepadanya." (Hadis ini dari sudut periwayatan, ada masalah. Imam Ibn Kathir telah memberi komen kepada hadis yang hampir sama dengannya di dalam kitab Tafsir beliau dengan katanya: "Hadis ini Gharib Jiddan, Sa'ad (seorang periwayatnya) tidak aku kenali." Justeru untuk mengatakan ia perkataan Ibn Abbas sahaja tidak kuat apatah lagi untuk disandarkan kepada Nabi SAW)

Namun secara umum, terdapat sokongan dari dalil-dalil alQuran dan hadis-hadis sahih lain yang menunjukkan keluasan rahmat dan keampunan dari Allah SWT.

Wallahu a'lam