Penyakit Yang Perlu DIjauhi Oleh Para Penyeru Dan Pengamal Kebaikan

Kata Imam alZahabi RH:
 
"Berapa ramai lelaki yang menuturkan kebenaran, menyuruh melakukan kebaikan, lalu Allah jadikan dia dikuasai oleh orang yang menyakitinya disebabkan buruk niatnya dan cintanya ia kepada kepimpinan dalam agama. Ini merupakan penyakit tersembunyi yang bergerak di dalam jiwa para fuqahaa', sepertimana ia juga penyakit yang bergerak di dalam jiwa mereka yang banyak berinfaq dari kalangan orang-orang kaya, pewakaf-pewakaf, penyumbang-penyumbang tanah perkuburan yang hebat-hebat. Ia juga merupakan penyakit tersembunyi yang bergerak di dalam jiwa tentera, para pemimpin dan para mujahidin." (Siyar A'lam alNubalaa' 18/193)
 
 
Wallahu a'lam

Celaan Gopoh Berfatwa

Kata Nafi' RA:
 
"Seorang lelaki bertanya kepada Ibn ' Umar RA tentang satu masalah. Lalu Ibn 'Umar menghangguk-hanggukkan kepalanya, namun tidak menjawab soalan tersebut, sehingga orang ramai menyangka beliau tidak mendengar soalan tersebut. Lelaki itu berkata: "Semoga Allah merahmatimu, apakah anda mendengar soalan saya?" Jawab Ibn 'Umar: "Bahkan (ya), akan tetapi kamu semua seperti menyangka Allah tidak akan bertanya kepada kami tentang apa yang kamu semua tanyakan kepada kami (apa jawapan yang kami berikan). Tinggalkan kami, semoga Allah merahmati kamu semua, sehingga kami memahami persoalan kamu, jika kami ada jawapannya. Jika tidak maka kami beritahukan kepada kamu bahawa kami tidak memiliki ilmu untuk menjawabnya." (alTabaqaat oleh Ibn Sa'ad 5202)
Wallahu a'lam

Pandangan Ulama Tentang Membaca Surah al-Kahf Pada Hari Jumaat

  •  Kata al-Imam al-Syafi’ie RH

وَبَلَغَنَا أَنَّ مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ وُقِيَ فِتْنَةُ الدَّجَّالِ) قَالَ الشَّافِعِيُّ (:وَأُحِبُّ كَثْرَةَ الصَّلَاةِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كُلِّ حَالٍ، وَأَنَا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَتِهَا أَشَدُّ اسْتِحْبَابًا، وَأُحِبُّ قِرَاءَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، وَيَوْمَهَا لِمَا جَاءَ فِيهَا .

Maksudnya: “Dan telah sampai kepada kami bahawa sesiapa yang memebaca surah al-Kahfi, dia akan dilindungi dari fitnah Dajjal. Daku suka memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW dalam setiap keadaan, dan pada hari Jumaat dan malamnya amat digalakkan. Daku suka membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat dan siangnya, berdasarkan bukti yang ada tentangnya.” (al-Umm, hlmn: 239)

  • Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH:

قِرَاءَةُ سُورَةِ الْكَهْفِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهَا آثَارٌ، ذَكَرَهَا أَهْلُ الْحَدِيثِ وَالْفِقْهِ، لَكِنْ هِيَ مُطْلَقَةٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، مَا سَمِعْت أَنَّهَا مُخْتَصَّةٌ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat terdapat athar berkenaannya. Ia disebut oleh Ahli Hadis dan Fiqh. Akan tetapi mutlaq pada hari Jumaat. Daku belum mendengar ia dikhususkan selepas ‘Asar.” (Majmu’ al-Fatawa 23/215 dan al-Fatawa al-Kubra 2/367)

  • al-San’ani RH setelah menyertakan hadis larangan mengkhususkan Qiyamullail pada malam Jumaat berkata:

اَلْحَدِيْثُ دَلِيْلٌ عَلَى تَحْرِيْمِ تَخْصِيْصِ لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ بِالْعِبَادَةِ بِصَلَاةٍ وَتِلَاوَةٍ غَيْرِ مُعْتَادَةٍ، إِلَّا َمَا وَرَدَ بِهِ النَّصُّ عَلَى ذَلِكَ، كَقِرَاءَةِ سُوْرَةِ الْكَهْفِ، فَإِنَّهُ وَرَدَ تَخْصِيْصُ لَيْلَةِ الْجُمْعَةِ بِقِرَاءَتِهَا

Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan pengharaman mengkhususkan malam Jumaat melakukan ibadah (Qiyamullail) dan membaca al-Quran yang diluar kebiasaan, melainkan apa-apa yang terdapat nas seperti membaca surah al-Kahf, kerana terdapat pengkhususan membacanya pada malam Jumaat.” (Subul al-Salam 2/447)

Wallahu a'lam