Perkara yang amat dahsyat di hari kiamat

Kata Qatadah:

"Tiada yang lebih dahsyat bagi seorang insan pada hari kiamat, melainkan seorang yang melihat orang yang dikenalinya di dunia, lalu dia ketakutan, bimbangkan orang itu menuntut kezaliman yang pernah dilakukan ke atasnya. Lalu Qatadah membaca firman Allah:

Maksudnya: "Pada hari itu (hari kiamat) seseorang akan lari jauh dari saudaranya, dari ibu dan dari bapanya, dari pasangan dan dari anak-anaknya..." ('Abasa 34-36)

Wallahu a'lam

Pohonlah dari Allah untuk menjadi seorang hamba yang baik dengan-Nya

Kata seorg Salaf RH:

"Dahulu aku menyangka bahawa seorang hambalah yang terlebih dahulu perlu mencintai Allah, lalu Allah mencintainya. Sehinggalah aku membaca firman Allah:

 فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

Maksudnya: "...nanti ALLAH akan datangkan satu kaum, ALLAH mencintai mereka, mereka pula mencintai Allah..." (alMaidah 54)

Barulah aku ketahui bahawa yang mula-mula mencintai adalah ALLAH.

Dahulu aku menyangka bahawa seseorang hambalah yang perlu bertaubat terlebih dahulu kepada Allah, agar Allah memberi taubat kepadanya. Sehinggalah aku membaca firman Allah:

ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ليتوبوا

Maksudnya: "...Kemudian Allah memberi Taubat kepada mereka (memberi taufiq kepada taubat) agar mereka mahu bertaubat.." (alTaubah 118)

Barulah aku tahu bahawa ALLAH lah yang memberi ilham kepada kamu sehingga kamu dapat bertaubat (kepadaNYA).

Dahulu juga aku menyangka bahawa seorang hambalah yang perlu redha kepada ALLAH terlebih dahulu, kemudian barulah akan redha kepadanya. Sehinggalah aku membaca firman ALLAH:

رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ


Maksudnya: "...ALLAH meredhai mereka dan mereka redha kepada ALLAH..." ( alBayyinah: 8)

"Wahai TUHAN, cintailah kami, berilah taufiq untuk kami bertaubat kepadaMU, redailah kami, bantulah kami utk mengingatiMU, mensyukuri nikmatMU, baik ibadah kepadaMU dan kekuatan untuk mentaatiMU."

Wallahu a'lam

Kamu seorang yang jahat, tetapi masih perasan baik

Kata alFudhail bin 'Iyadh RH:

"Kesian sungguh, kamu berbuat jahat tetapi kamu menyangka berbuat baik. Kamu jahil tetapi menyangka diri seorang alim. Kamu bakhil tetapi menyangka dermawan. Kamu bodoh tapi menyangka berakal. Ajal kamu hampir, sedangkan angan-anganmu masih panjang.

Kata alZahabi RH memberi komen:

"Demi Allah benar kata beliau (alQadhi 'Iyadh) ini. Kamu seorang yang zalim tetapi kami merasakan kamu yang dizalimi. Kamu memakan yang haram, tetapi menyangka wara'. Kamu seorang yang fasiq, tetapi menyangka adil. Kamu seorang yang menuntut ilmu kerana dunia, tetapi masih menyangka kerana Allah." (Siyar A'lam alNubalaa' 8/440)

Wallahu a'lam