Beriman Kepada Takdir Menghilangkan Keperitan Menanggung Musibah

 
"Beriman kepada ketentuan Allah akan mengurangkan keperitan menanggung musibah. Ini kerana, Allah tidak akan mentakdirkan sesuatu kepada orang beriman melainkan kebaikan sahaja. Keperitan musibah bagi orang yang beriman sama seperti pahitnya ubat. Jika dia melihat kepada kesudahan apa yang Allah pilih untuknya, sudah pasti dia akan redha."
 
Olahan semula Bin Sahak dari al-Syeikh al-Torifi
 
Wallahu a'lam

Tazkirah di tanah perkuburan bukan dalam bentuk berkhutbah dan berceramah

 

Hari ini kata Ibn ‘Uthaimin, orang muda-muda beri tazkirah di tanah perkuburan macam hendak pergi perang. Tidak… tazkirah di tanah perkuburan ini dengan suara yang memujuk, suara memperingatkan orang ramai kepada akhirat, kembali kepada agama Allah, bertaubat, insaf diri kita, kerana kita semua akan kembali bertemu dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Itu tazkirah di tanah perkuburan. Bukan dengan lantang: “tuan-tuan muslimin yang dikasihi sekalian, sedarlah bahawasanya kita semua akan kembali ke tanah perkuburan ini…” dengan bersemangat seperti memberi arahan kepada pasukan tentera. Ini bukan tazkirah kematian. Ini berceramah atau khutbah Jumaat. Ia sekadar kalam majlis seperti kata Ibn ‘uthaimin, bicara atau sembang biasa beri peringatan.

Wallahu a'lam

"dia datang ke rumahku untuk mencuri, akhirnya aku yang mencurinya."

Seorang penyamun masuk ke dalam rumah Malik bin Dinar, namun dia tidak menemui sesuatu untuk dicuri. Malik sebenarnya menyedari kehadiran penyamun tersebut, lalu berseru dengan berkata:

"kamu tidak menjumpai sesuatu dari benda dunia yang boleh diambil? Mahukah aku tawarkn kepada kamu sesuatu dari perkara akhirat"?

Jawab penyamun: "Ya." Kata Malik: "berwudhulah dan tunaikan solat 2 rakaat."

Lalu penyamun itu melakukannya. Setelah itu dia duduk dan keluar bersama Malik menuju ke masjid. Ketika Malik ditanya siapa orang itu, beliau menjawab: "dia datang ke rumahku untuk mencuri, akhirnya aku yang mencurinya."

Wallahu a'lam