Berlumba Perbanyakkan Pahala

Thursday, May 16, 2013

عَنِ ابْنِ عَمْرٍو رَضِيَ الله عَنْهُ، قَالَ: رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَنْ قَامَ بِعَشْرِ آيَاتٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنْ الْغَافِلِينَ، وَمَنْ قَامَ بِمِائَةِ آيَةٍ كُتِبَ مِنْ الْقَانِتِينَ، وَمَنْ قَامَ بِأَلْفِ آيَةٍ كُتِبَ مِنْ الْمُقَنْطِرِينَ". 

Maksud: Daripada Ibn ‘Umar RA, Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa membaca 10 ayat al-Quran, dia tidak dicatit dari kalangan orang-orang yang lalai. Sesiapa yang membaca 100 ayat al-Quran, dia dicatit dari kalangan orang-orang yang Qanit (yang khusu’). Sesiapa yang membaca 1000 ayat al-Quran dia dicatit dari kalangan orang-orang yang Muqantir.” (Dikeluarkan oleh Abu  Daud, 2/57, bil: 1398. Ibn HIbban 6/310, bil: 2572. Al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman 2/400, bil: 2194. Dikeluarkan juga oleh Ibn Khuzaimah 2/181, bil: 1144. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)

Al-Muqantirin ialah  mereka yang memiliki harta yang banyak. Dimaksudkan di sini kepada mereka yang banyak memperolehi pahala, seperti yang dinyatakan oleh al-Sindiy. Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “bermula dari surah Tabarak (al-Mulk) sehingga habis al-Quran terdapat seribu ayat.”

Hadis ini memaksudkan kepada sesiapa yang membaca al-Quran di dalam solat malam. Syams al-Hak di dalam kitab ‘Aun al-Ma’bud ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Yang dimaksudkan di sini adalah bangun malam hari (Qiyamullail).” Selain itu al-Baghawi memasukkan hadis ini di bawah Bab Qiyam al-Lail seperti yang terdapat di dalam kitab al-Misykah. Dinukilkan juga pandangan ini dari Ibn Hajar seperti yang terdapat di dalam al-Mirqah. Inilah pandangan kebanyakan para ulama yang mensyarahkan hadis.

Wallahu a'lam

Akhirat, perjalanannya panjang...!

Diriwayatkan, al-Asytar (Malik bin al-Harith al-Nakhaie) masuk menemui 'Ali bin Abi Talib setelah berlalu sebahagian malam, ketika itu 'Ali sedang berdiri menunaikan solat. Kata al-Asytar: "Wahai Amirul Mukminin, asyik puasa di siang hari dan berjaga malam (solat), berpenat melaksanakan tanggungjawab antara dua waktu itu."
 
Apabila selesai solat, 'Ali berkata: "Perjalanan akhirat amat panjang, perlu menempuhnya dengan berjalan malam iaitulah pada waktu Sahur (bangun menunaikan solat)."
 
Demikian juga kisah isteri kepada Habib bin Muhammad al-Farisi yang membangunkan suaminya di malam hari dengan berkata: "Bangunlah wahai suamiku. Sesungguhnya jalan (di akhirat) amat jauh, bekalan kita pula amat sedikit. Sedangkan rombongan orang soleh telahpun mara ke hadapan meninggalkan kita, namun kita masih di sini. Bangunlah wahai orang yang masih lagi tidur, bangunlah wahai suamiku, semakin hampir waktu yang dijanjikan (kiamat atau mati), jadikanlah beberapa waktu di malam hari untuk beribadat setelah tidur seketika. Siapa yang tidur sepanjang malam, pasti dia tidak akan sampai ke destinasi sekalipun dia bersusah-payah." (Lata-if al-Ma'arij oleh Ibn Rejab, hal: 48)
 
 
Wallahu a'lam

Hutang Wajib Dibayar

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ وَحْدَهُ وَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ عَلَى آلِهِ وَ صَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، أَمَّا بَعْدُ،

 Islam tidak menggalakkan umatnya untuk berhutang. Ini adalah kerana hutang merupakan satu beban yang perlu ditanggung oleh kedua-dua pihak, iaitu penghutang dan pemiutang. Hutang juga merupakan satu bebanan yang akan dipikul oleh seseorang walaupun setelah seseorang itu menemui ajal. Baginda Nabi SAW enggan menunaikan solat jenazah kepada orang yang tidak membayar hutang. Di dalam sepotong hadis, baginda Nabi SAW mendatangi jenazah seseorang, lalu baginda nabi SAW bertanya: ”Adakah beliau (si mati) mempunyai hutang?”. Setelah diberitahukan oleh para sahabat RA bahawa si mati ada meninggalkan hutang, (lalu) Nabi SAW bersabda:

"صَلُّوْا عَلَى صَاحِبِكُمْ فَإِنَّ عَلَيْهِ دَيْنًا"

Yang bermaksud:Solatlah kamu ke atas sahabat kamu, sesungguhnya dia mempunyai hutang”. (Hadis Sahih, Riwayat At-tirmizi)

Tindakan Nabi SAW itu sebagai pengajaran kepada mereka yang enggan membayar hutang, tanpa alasan.

Baginda Nabi SAW pernah menggadaikan baju besinya untuk berhutang, ketika di hujung hayatnya, bagi mendapatkan perbelanjaan makan dan minum  ahli keluarganya, sepertimana yang diberitahu oleh Aisyah RA;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ

Ertinya:”Bahawasanya Nabi SAW telah membeli makanan dari seorang Yahudi dengan (wang yang dihutangnya) sehingga satu tempoh (bayaran yang ditetapkan, dari sumber) gadaian baju besinya. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hal ini menunjukkan, bahawa Nabi SAW tidak suka meminta-minta, walaupun daripada sahabat baginda RA. Baginda SAW lebih rela berusaha sendiri bagi mendapatkan makanan untuk ahli keluarga baginda SAW, walaupun terpaksa berhutang dengan menggadaikan baju besi baginda SAW. Perbuatan baginda Nabi SAW ini menjadi pengajaran buat kita semua supaya jangan jadi orang yang suka meminta-minta.

Islam telah menggariskan beberapa tanggungjawab yang perlu difahami oleh para penghutang, antaranya ialah;

Pertama; Hutang adalah satu bentuk amanah dan amanah tersebut adalah sesuatu yang wajib dipulangkan kepada pemilik asalnya. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nisa, ayat 58:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya  (yang berhak menerimanya), dan apabila mejalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh)kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”.

Di penghujung  ayat ini Allah SWT telah memberitahu kepada kita semua, bahawa dia sentiasa mendengar akan ungkapan kita untuk memenuhi sesuatu amanah dan Allah juga sentiasa memerhatikan kita, adakah kita telah bertindak dengan cara yang betul untuk memulangkan sesuatu amanah.

Kedua;. Berdosa besar bagi sesiapa berhutang dengan berniat serta merancang dengan tipu helah untuk tidak membayar hutangnya buat selama-lamanya, demi mendapatkan keuntungan dan lari daripada tanggungjawab untuk membayar hutang. Allah SWT memberi khabar ancaman melalui lisan baginda Nabi SAW, dengan balasan seksaan di dunia dan di akhirat:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil harta orang lain (secara berhutang) dengan niat untuk membayarnya, maka Allah akan (memudahkan untuk dia) membayarnya. Dan barangsiapa yang mengambilnya (secara berhutang) dengan tujuan (tidak) mahu membayarnya maka Allah akan membinasakannya. (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Kesimpulannya, berhutang merupakan jalan keluar yang dibenarkan oleh syarak, bagi sesiapa yang berada di dalam kesempitan dan kesusahan hidup. Barang siapa berhutang dengan niat akan berusaha melangsaikan hutang tersebut, maka mudah-mudahan Allah SWT akan membantu untuk melangsaikannya, dan barangsiapa dengan sengaja tidak membayar hutang tersebut dalam keadaan mempunyai kemampauan untuk melunaskannya, maka dia telah melakukan satu dosa yang besar disisi Allah SWT, oleh itu hendaklah dia bertaubat dengan cara berusaha melangsaikan hutang tersebut dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Wallahu a'lam